Sorting by

×

KEJAYAAN ATAU KELEMAHAN BENTUK PERSEPSI RAKYAT – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 30 Mac – Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka kini memasuki fasa pelaksanaan, yang menuntut hasil nyata daripada setiap perancangan dirangka sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penilaian terhadap prestasi agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak lagi boleh bersandarkan kepada idea atau perancangan semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada pencapaian yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Berikutan itu, kata beliau, semua entiti terlibat digesa menunjukkan kemajuan pada setiap suku tahun pertama dan bukan sekadar prestasi yang mendatar, ‘stagnant’ atau mencapai target minimum.

“Justeru, saya menetapkan jangkaan yang jelas kepada semua agensi dan anak syarikat negeri, agensi utama seperti MCORP, Yayasan Melaka dan semua entiti strategik mesti memastikan tahun ini menjadi tahun lonjakan prestasi yang nyata dan berimpak.

“Sekiranya enam bulan pertama masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan, maka perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Ia mesti ditangani segera dengan tindakan yang tegas dan berfokus.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menyeru semua agensi, GLC dan anak syarikat negeri supaya bergerak secara proaktif sebagai satu pasukan yang kukuh.

Prestasi setiap agensi, ujar beliau, bukan sahaja mencerminkan keupayaan organisasi masing-masing, malah menjadi ukuran kepada keseluruhan pentadbiran negeri serta tahap keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri.

“Sebab itu saya tegaskan, tahun ini ialah tahun penentuan kejayaan atau kelemahan dalam tempoh ini akan membentuk persepsi rakyat dan menentukan hala tuju negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post AGENSI, ANAK SYARIKAT MELAKA DISERU PERBANYAK INISIATIF CSR