
KEJAYAAN MENYELARAS WRUR DUN SUNGAI UDANG AKAN DIPERKASA DI DUN BEMBAN – EXCO KANAN
SUNGAI UDANG 3 Jun – Kejayaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, akan menjadi panduan bagi melancarkan lagi pelaksanaan WRUR DUN Bemban.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata pihaknya akan memperkasakan lagi kaedah menyelesaikan isu aduan rakyat di bawah portfolionya di DUN Bemban nanti.
Beliau yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang berkata pihaknya kini sedang giat mengatur pelbagai program dan aktiviti bakal melibatkan komuniti DUN Bemban pada pertengahan Jun ini.
“Mengambil contoh di DUN Kuala Linggi, Pengkalan Batu dan Sungai Udang, isu di setiap tempat berbeza-beza dan penyelesaiannya juga lain, jadi setiap kali WRUR ini kita mahu menjadi lebih baik dalam langkah menguruskan sesuatu perkara.
“Saya yakin dan percaya setiap Exco juga mempunyai kaedah dan cara sendiri untuk menyelesaikan isu disuarakan rakyat.
“Tempat dan isu berbeza dan cara selesaikan juga lain, namun itu tidak menjadi hal besar kerana kita akan mencurahkan bakti sehabis baik sebagai wakil rakyat untuk membantu rakyat di Bemban dengan cara tersendiri. Apa yang penting isu selesai, rakyat selesai,” katanya.
Rais berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Penutup Program WRUR DUN Sungai Udang yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Japerun Sungai Udang, 30 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata pelbagai agensi di bawah portfolionya sedang mengumpul data, aduan dan maklumat melibatkan DUN Bemban.
“Berbalik kepada misi dan visi Program WRUR ini, hasrat Ketua Menteri adalah merakyatkan agensi Kerajaan Negeri, rakyat boleh jumpa atau mengadu terus kepada wakil rakyat tanpa kerenah birokrasi.
“Saya harap sokongan rakyat kepada Program WRUR ini berterusan untuk menjadikan Melaka sebagai negeri yang stabil seterusnya rakyat sendiri selesa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.