
KEJOHANAN MUAYTHAI TERBUKA NEGERI MELAKA GAMIT 300 PENYERTAAN
AYER KEROH 19 Jun – Seramai 300 peserta bakal beraksi pada Kejohanan Muaythai Terbuka Negeri Melaka dijadualkan di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, pada Sabtu dan Ahad ini.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Melaka (PMNM), Emrito@Haris Alias berkata, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah kira-kira RM15,000.
“Kejohanan ini sudah berlangsung beberapa siri dan tahun ini ia akan disertai seramai 300 atlet Muaythai amatur seluruh negeri.
“Kita buka beberapa kategori bermula 33 kilogram (kg) hingga 100 kg,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Muaythai Kala Merah, di sini, semalam.
Emrito berkata, kejohanan kali ini bertujuan bagi mencari atlet pelapis Muaythai Melaka bagi mewakili negeri ini ke Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor tahun hadapan.
“Seperti sedia maklum pada SUKMA 2024 sukan Muaythai membawa pulang dua pingat perak dan empat pingat gangsa, justeru itu untuk SUKMA tahun hadapan sasaran kita sekurang-kurangnya satu pingat emas.
“Selain itu juga PMNM juga komited dalam pembangunan sukan Muaythai, sekali gus melahirkan lebih ramai atlet Muaythai khususnya anak jati Melaka,” katanya.
Jelasnya, selain Kejohanan Muaythai Terbuka Negeri Melaka, PMNM kini dalam perancangan menganjurkan beberapa siri kejohanan lain termasuk Kejohanan Antarabangsa membabitkan penyertaan lapan negara yang dijangka akan berlangsung pada Oktober depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.