Sorting by

×

KEMAHIRAN TVET BUKAN SEKADAR UNTUK ‘MAKAN GAJI’

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat
LENDU 29 Mei – Graduan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) digalakkan untuk mengusahakan perniagaan sendiri berdasarkan kemahiran dimiliki.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, alumni TVET sekarang perlu berfikiran jauh dan bukan sekadar meletakkan sasaran untuk makan gaji selepas tamat mengikuti kursus kemahiran.
Katanya, sehubungan itu keusahawanan berasaskan kemahiran TVET adalah antara yang diberikan penekanan pada Sambutan Hari TVET Negara 2025 dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dari 11 hingga 13 Jun ini.
“Apabila aktif dalam bidang keusahawanan berdasarkan kemahiran dimiliki, kita bukan sahaja membantu diri sendiri tetapi akhirnya menjadi majikan dan dapat membantu orang lain.
“Kita mahu menanam dan mengembangkan lagi mentaliti atau ‘mindset’ memanfaatkan kemahiran dimiliki untuk aktif sebagai usahawan dalam kalangan graduan TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pada Majlis Pelancaran Program Zero To Hero Penempatan Pekerja Bidang Scaffolding – Oil & Gas yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di HRSB Holdings Sdn Bhd, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Adun Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Yang turut hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Presiden HRSB Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassim.
Sementara itu mengulas mengenai Sambutan Hari TVET Negara 2025, Khaidhirah berkata, pihaknya menyasarkan sehingga 100,000 pengunjung akan hadir memeriahkannya.
“Majlis TVET Melaka bekerjasama dengan Majlis TVET Negara dalam menyelaraskan sambutan ini, antara pengisian diatur adalah membuka peluang kerjasama dalam kalangan industri berkaitan TVET di Melaka dan seluruh negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

891
Kongsi :
Previous post BUKTIKAN KEJAYAAN MELAKA SEBAGAI NEGERI BERSIH, SIHAT DAN BEBAS DENGGI
Next post WRUR BANTU SELESAI MASALAH DI PERINGKAT AKAR UMBI