
KEMALANGAN DI GERIK: SIASATAN AWAL DAPATI BAS TERLANGGAR BELAKANG KENDERAAN ALZA – POLIS
GERIK, 9 Jun (Bernama) — Siasatan awal polis mendapati, kemalangan yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim berpunca apabila bas yang dinaiki mereka terlanggar bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza, sebelum terbalik.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata bas berkenaan membawa 42 pelajar berusia antara 21 hingga 23 tahun, kesemuanya dari Pantai Timur.
Beliau berkata bas yang didaftarkan di Kedah itu, disewa khas oleh kesemua pelajar terlibat dan bertolak dari Jertih, Terengganu pada 9 malam tadi untuk pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.
“Kemalangan ini telah menyebabkan 15 kematian dan kesemua jenazah masih menunggu proses bedah siasat. Sebanyak 13 jenazah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Bainun, manakala dua jenazah lagi di Hospital Gerik.
“Seramai 27 lagi pelajar iaitu 23 perempuan dan empat lelaki turut mengalami kecederaan. Pemandu bas itu yang berusia 40 tahun dan pembantunya berusia 54 tahun juga cedera dalam kemalangan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Beliau berkata selain itu turut cedera pemandu dan penumpang kenderaan Alza berkenaan iaitu sepasang suami isteri berusia berusia 37 dan 36 tahun serta dua anak mereka, seorang perempuan dan seorang lelaki yang berusia enam dan tiga tahun.
“Pasangan suami isteri dan anak mereka dihantar ke Hospital Baling, Kedah untuk mendapat rawatan, manakala yang lain (cedera) dihantar ke Hospital Gerik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Baling, dan Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Noor Hisam berkata proses bedah siasat dijangka akan mengambil masa berikutan jumlah mangsa yang ramai.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan indentiti kesemua mangsa yang terlibat termasuk 15 yang meninggal dunia, kerana proses bedah siasat masih berjalan.
Noor Hisam berkata polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci termasuk dari aspek teknikal, kecuaian manusia, mahupun rekod kesalahan lampau.
Siasatan dilakukan dengan turut mendapatkan bantuan daripada agensi yang berkaitan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
“Keadaan kawasan kemalangan adalah berliku dan menurun (bukit). Jadi kita akan siasat semua kemungkinan termasuk aspek teknikal. Jalan di kawasan itu juga gelap dan tidak mempunyai lampu kecuali kawasan berhampiran Tasik Banding, jadi masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan.
“Pemandu bas ini juga cedera di tangan dan kita masih belum dapat merakamkan percakapannya,” katanya.
Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.