
KEMASUKAN AWAL KE TAHUN 1: PERKUKUH SISTEM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
AYER KEROH 21 Januari – Ibu bapa yang yakin dengan potensi anak-anak, digalakkan menghantar mereka ke prasekolah seawal usia lima tahun sebelum memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kanak-kanak generasi kini dilihat lebih matang dan bersedia menerima pembelajaran formal lebih awal berbanding generasi terdahulu.
Katanya, pendekatan itu mencerminkan perubahan landskap pendidikan awal negara dan memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan potensi kanak-kanak.
“Bagaimanapun, Kerajaan tidak mewajibkan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu, sebaliknya memberikan pilihan kepada ibu bapa berdasarkan kesediaan anak masing-masing.
“Kerajaan memberi fleksibiliti kepada ibu bapa untuk menentukan kemasukan awal anak ke alam persekolahan apabila pendaftaran Tahun Satu pada usia enam tahun dibuka secara sukarela bermula 2027,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, langkah itu juga dijangka memperkukuh sistem pendidikan awal kanak-kanak negara ini.
Tambahnya, negara kini lebih menitikberatkan kesediaan individu kanak-kanak berbanding faktor usia semata-mata.
“Ia bergantung kepada permohonan ibu bapa. Jika ibu bapa belum bersedia, anak boleh masuk Tahun Satu pada umur 7 tahun.
“Selepas ini seluruh prasekolah akan diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan diselaraskan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 mengumumkan bermula 2027, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara Tahun Satu pula bermula pada usia enam tahun bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


