
KEMERDEKAAN: WARISAN YANG MENDIDIK
REMBIA 8 Ogos – Kemenjadian golongan muda perlu disulam dengan pemahaman sejarah yang mendalam, sekali gus melahirkan generasi pelapis negara pada masa kini dan akan datang.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, jika mahu menjadi sebuah negara yang hebat, golongan muda juga perlu kuat dan terus diperkasakan.
“Kita tidak mahu melihat anak muda Melaka hanya jadi penonton sejarah, tetapi mencipta sejarah. Memetik kata John F Kennedy, Presiden Amerika Syarikat ke-35 Amerika Syarikat ‘Jangan tanya apa yang negara boleh lakukan untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh lakukan untuk negara’.
“Tidak lama lagi, negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-68 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’. Setiap tahun, kita kibarkan Jalur Gemilang, kita nyanyikan lagu patriotik, namun saya ingin mengajak semua anak muda agar kita bukan sekadar mengingati tarikh, tetapi benar-benar menghayati makna sejarah kemerdekaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembangunan Pemimpin Pelapis Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia anjuran Institut Tun Perak (ITP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam, merangkap Penyelaras DUN Rembia; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustafa Musa; Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Prof Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Sektor Pengurusan Sekolah, Muhammad Hamka Dollah.
Rahmad berkata, majlis berkenaan bukan sekadar simbolik kepada permulaan sebuah program, tetapi langkah pertama kepada satu perjalanan penting dalam pembinaan generasi kepimpinan masa depan yang mampu membawa perubahan dan kemajuan kepada masyarakat setempat, khususnya di kawasan DUN Rembia.
Terdahulu program itu dihadiri seramai 250 peserta melibatkan pelajar sekolah menengah sekitar DUN Rembia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.