
KEMUDAHAN KESIHATAN DI SUNGAI UDANG DIPERTINGKAT
SUNGAI UDANG 31 Mei – Kemudahan dan perkhidmatan kesihatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang terus dipertingkat melalui pelaksanaan beberapa projek yang memberi impak kepada penduduk setempat.
Usaha itu dilaksanakan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang yang memfokuskan terhadap kebajikan dan kesihatan rakyat di kawasan itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antaranya projek pembinaan Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) bernilai RM325 juta di bawah Kementerian Pertahanan yang dijangka siap sepenuhnya Januari 2029.
“Selain itu, dalam usaha meningkatkan akses rawatan asas, Klinik Kesihatan dan Klinik Pergigian Sungai Udang bakal dinaik taraf dengan peruntukan RM450,000 yang akan bermula hujung tahun ini dan dijangka siap pada Mac 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang di sini, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Usaha Kerajaan, Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ab Rauf berkata selain projek berskala besar, perkhidmatan kesihatan mudah alih turut diberikan perhatian apabila klinik kesihatan bergerak dibawa ke Japerun.
“Klinik bergerak ini membolehkan lebih 100 penduduk menerima pemeriksaan kesihatan percuma sepanjang tempoh pelaksanaan WRUR DUN Sungai Udang ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.