Sorting by

×

KENDURI RAKYAT BERSAMA PMX ANTARA TARIKAN DI PMR 2025 MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

MERLIMAU 14 Oktober – Rakyat Melaka berpeluang untuk menikmati Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kemuncak Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang diadakan pada 19 Oktober ini.

PMR 2025 Melaka bakal diadakan selama tiga hari bermula 17 Oktober di Politeknik Merlimau Melaka, di mana ia merupakan siri penutup dengan bertemakan Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri Melaka Norena Jaafar berkata, kenduri rakyat itu bakal meraikan masyarakat pelbagai kaum dengan sasaran kehadiran 5,000 rakyat negeri ini.

Jelas beliau, majlis itu juga bakal menampilkan pelbagai menu ikonik Negeri Melaka merangkumi pelbagai kaum dan budaya.

“Tidak hanya itu, sepanjang tiga hari PMR 2025 Melaka berlangsung, turut diadakan Jualan Selera Melaka yang menampilkan 20 gerai usahawan yang menjual pelbagai makanan pada harga RAHMAH bermula RM5, termasuklah menu seperti nasi kerabu, churros dan aneka kopi.

“Selain itu, mereka yang datang bersama keluarga juga boleh berkunjung ke ‘petting zoo’ yang membawakan pelbagai jenis haiwan antaranya, arnab pelbagai jenis, kambing jenis African Pygmy, ayam Poland dan Silkie, itik, angsa Cape Barren serta burung pelbagai jenis.

“Malah, turut dibawakan dua ekor lembu sado yang dinamakan Mamat dan Eto seberat 850 kilogram (kg) dan 1,010kg yang pastinya mencuri perhatian orang ramai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Norena, Pavilion Melaka yang dibuka sepanjang program itu berlangsung turut menawarkan pelbagai tarikan istimewa, antaranya, pendaftaran alamat Kampung Digital dan Kuiz Kahoot pada setiap hari.

“Selain itu turut diadakan kuiz pelancongan dan kaunter promosi produk pelancongan; simulasi daripada pasukan Paramedik Komuniti (PARAKOM) serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah istimewa termasuk sebuah motosikal,” katanya.

Mengulas lanjut, Norena berkata, orang ramai yang hendak hadir ke PMR 2025 Melaka juga tidak perlu gusar soal kesesakan kerana terdapat enam tapak letak kenderaan disediakan iaitu di SJK (T) Merlimau, Padang SK Merlimau 2, Padang SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub, Perpustakaan Merlimau, Bandar Baru Merlimau Utara dan Klinik Kesihatan Merlimau.

Jelas beliau, sebanyak lapan kenderaan perantara (shuttle) turut disediakan, merangkumi tiga buah bas dan lima van untuk membawa pengunjung ke tapak program.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post 25 ACARA WARNAI FESTIVAL SENI SELAT MELAKA X FESTIVAL SUNGAI MELAKA
Next post LONGKANG MONSUN MBMB LERAI DILEMA BANJIR TAMAN KRUBONG PERDANA