Sorting by

×

KEPRIHATINAN PENYUMBANG BERI KESELESAAN KEPADA PENGHUNI RUMAH BAKTI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TELOK MAS 13 Ogos – Kesudian dan keprihatinan pihak berkaitan tampil menghulur sumbangan membangkitkan kegembiraan buat warga emas di Pertubuhan Kebajikan Rumah Warga Emas Dan Komuniti, Taman Bukit Larang Indah (BAKTI).

Atas rasa tanggungjawab, kesemua lapan unit rumah dengan tiga bilik itu dilengkapkan dengan almari pakaian, katil dan set meja makan baharu bagi keselesaan penghuni.

Penasihat BAKTI, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, sejak diambil alih tiga tahun lalu pihaknya dari semasa ke semasa cuba menambah baik serta menyelenggara premis berkenaan.

“Selain menyelenggara persekitaran, kelengkapan termasuk fasiliti turut diberikan perhatian. Alhamdulillah pembangunan BAKTI turut mendapat kerjasama banyak pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“BAKTI menjadi tempat berteduh 10 warga emas termasuk dua wanita dan kesemua mereka berusia lebih 60 tahun. Mereka ditempatkan di BAKTI selepas mendapat kelulusan JKM, tanpa mengira latar belakang, kami akan sedaya upaya akan memastikan warga emas ini sentiasa dalam keadaan selesa serta menjalani kehidupan yang ceria,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut dihadiri Adun Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, di Taman Bukit Larang Indah, di sini, semalam.

Terdahulu TNB menyerahkan 24 unit katil, sementara itu syarikat pengeluar daging burger terkemuka pula turut menyumbang 24 unit almari pakaian.

Menurut Akramuddin, mewakili penghuni Rumah BAKTI, pihaknya terharu dan berterima kasih kerana pelbagai pihak termasuk individu persendirian tampil membantu untuk membantu.

“Mewakili penghuni di sini, saya berterima kasih kepada semua penyumbang dan masih ada kelengkapan lain yang diperlukan iaitu lapan unit peti sejuk untuk diletakkan di setiap unit rumah.

“Justeru itu kami amat mengalu-alukan sumbangan tidak kira dalam bentuk wang ringgit atau kelengkapan bagi memberikan keselesaan buat penghuni rumah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1125
Kongsi :
Previous post MOTAC, PDRM PASTIKAN KESELAMATAN TERJAMIN SEPANJANG WTD 2025
Next post KURSUS PENTAULIAHAN PENGADIL LANGKAH AWAL ANGKAT DARJAT KONDA KONDI