
KERAJAAN BENTANG LANGKAH TANGANI KENAIKAN INPUT PERTANIAN SECARA MINGGUAN
TANJUNG BIDARA 12 April – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan bermesyuarat setiap minggu bagi menangani kenaikan kos input pertanian susulan konflik Asia Barat yang dijangka berlarutan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat itu bukan sahaja membabitkan Kementerian Pertanian dan agensi di bawahnya, bahkan turut menjemput pemain industri pertanian.
Katanya, dapatan atau cadangan daripada mesyuarat itu kemudiannya akan dinilai dan langkah-langkah intervensi akan diperjelaskan secara mingguan.
“Langkah-langkah ini adalah berdasarkan isu-isu atau masalah yang dibangkitkan, selain cadangan-cadangan yang diberikan oleh pemain industri pertanian.
“Insya-Allah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mencadangkan kepada MTEN dan juga kabinet mengenai langkah-langkah segera dan langkah jangka sederhana yang akan dilakukan dan pengumuman akan dibuat setiap minggu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta pembangkang untuk bersama-sama kerajaan mengutarakan idea dan buah fikiran yang baik dalam menangani masalah dihadapi petani dan pesawah dan bukannya mengeruhkan keadaan dengan kenyataan bersifat menakut-nakutkan.
“Masalah ini adalah masalah bersama dan ia adalah masalah dunia yang sepatutnya kita hadapi bersama.
“Inilah waktu terbaik untuk kita bersama mencari jalan untuk menyelamatkan negara ini walaupun mereka berada di barisan pembangkang,” katanya lagi.
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah. Foto Afiq Mustaffa
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


