
KERAJAAN MELAKA AMBIL TINDAKAN SEGERA ISU PENCEMARAN SUNGAI AIR BATU
SUNGAI UDANG 9 Julai – Kerajaan Negeri memandang serius insiden pencemaran air yang berlaku di Sungai Air Batu, berhampiran Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang.
Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka telah diarahkan untuk menjalankan siasatan serta-merta sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian tersebut sejak semalam (8 Julai).
Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan awal JAS mendapati terdapat perubahan ketara pada warna air sungai yang bertukar hitam, dipercayai berpunca daripada pelepasan efluen oleh sumber yang masih dalam siasatan.
Jelas kenyataan itu, sebagai respons kepada kebimbangan penduduk setempat yang mengaitkan insiden berkenaan dengan Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, siasatan turut dijalankan di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada pelepasan air larut resapan (leachate) dikesan semasa pemeriksaan dilakukan.
“Meskipun begitu, pihak JAS akan terus memantau dan menjalankan pensampelan secara berkala sekiranya berlaku sebarang pelepasan, bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Standard Kualiti Alam Sekitar.
“Untuk makluman, tapak pelupusan tersebut telah berada di bawah pemantauan berkala pihak JAS dan beberapa tindakan penguatkuasaan juga pernah diambil terhadap pengendali tapak sebelum ini,” katanya.
Kenyataan sama turut memaklumkan, Kerajaan Negeri memberi jaminan penuh bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh, dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang alam sekitar.
“Kerajaan Negeri Melaka komited dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” tegas kenyataan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.