
KERAJAAN MELAKA STABIL, TIADA KEPERLUAN DESAK DR. AKMAL LETAK JAWATAN
AYER KEROH 7 Januari – Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama seluruh barisan kepimpinan negeri berada dalam keadaan stabil dan berfungsi dengan baik.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, pentadbiran negeri kini terus memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan serta kebajikan rakyat.
Justeru, beliau menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak terus-menerus membuat desakan atau cabaran agar mana-mana Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meletakkan jawatan, khususnya ketika Kerajaan Negeri sedang melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diamanahkan oleh rakyat.
“Kerajaan Negeri Melaka turut berpandangan bahawa segala spekulasi atau tekanan politik yang tidak berasas hanya akan mengganggu fokus pentadbiran dan tidak memberi manfaat kepada rakyat mahupun kestabilan negeri.
“Dalam hal ini, mana-mana pihak atau parti politik juga disarankan agar tidak membuat sebarang desakan supaya Datuk Dr. Akmal Saleh melepaskan jawatan beliau sebagai Adun Merlimau merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, memandangkan beliau terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hakim memaklumkan, Kerajaan Negeri kekal komited untuk mentadbir secara berhemah, berfokus kepada prestasi dan berlandaskan kepentingan rakyat.
Pada masa sama, ujar beliau, Kerajaan Negeri tidak akan sesekali terpengaruh dengan polemik politik yang bersifat spekulatif.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


