Sorting by

×

KERAJAAN MELAKA TAK PERNAH DUDUK TENANG, SENTIASA CAKNA HAL RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

GADEK 12 April – Pentadbiran Kerajaan Melaka yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sentiasa sibuk demi memastikan aspek kebajikan sentiasa diperkukuh serta menyelesaikan isu rakyat di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri berkata, setiap isu yang disuarakan tidak akan dilengah-lengahkan dan corak kerja itu adalah selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dilaungkan.

Katanya, pada 31 Mac lalu, genap tiga beliau memegang amanah menerajui Kerajaan Negeri Melaka dan sepanjang tempoh itu lebih 200 pencapaian serta inisiatif yang menyentuh kehidupan rakyat dilakar.

Menurutnya, bagi DUN Gadek beliau melihat sendiri bagaimana semangat itu diterjemahkan YB Shanmugam yang sentiasa bersama untuk mendengar sendiri suara 28,316 penduduk dan memastikan setiap isu ditangani dengan sebaik mungkin.

“Daripada pelbagai usaha dilaksanakan di DUN Gadek ini, kita dapat melihat hasil yang jelas dalam pelbagai aspek pembangunan. Antaranya, sebanyak 110 projek pembangunan telah direalisasikan dengan peruntukan mencecah RM6.74 juta.

“Ini termasuklah Projek Naik Taraf Klinik Kesihatan Padang Sebang yang telah siap pada Oktober 2025, dengan peruntukan sebanyak RM800,000. Malah, dalam tempoh yang sama, sebanyak RM10.88 juta telah disalurkan terus kepada penduduk DUN Gadek melalui tujuh jenis bantuan utama di bawah inisiatif kebajikan masyarakat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat & Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Taman Sebang Gemilang, di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Adun Asahan.

Yang turut hadir Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mustafa Musa dan Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas.

Ab Rauf berkata, dalam usaha memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa, khususnya daripada segi tempat berteduh, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk lima projek bina baharu rumah dan 34 projek baik pulih rumah, melibatkan peruntukan sekitar R1.07 juta.

Berkongsi hal pembangunan DUN Gadek, Ketua Menteri berkata tapak penjaja berhampiran Pasar Pulau Sebang telah siap sepenuhnya pada Disember 2025 dengan kos melebihi RM400,000.

“Hari ini, ia bukan sekadar kemudahan, tetapi menjadi sumber rezeki dan peluang ekonomi kepada para peniaga kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post JAMUAN AIDILFITRI TANDA TOK RAOP TAK LUPA RAKYAT KURANG MAMPU
Next post TOK RAOP UMUM KELULUSAN PERMOHONAN TANAH, DEWAN BAHARU DI GADEK