Sorting by

×

KERAJAAN NEGERI SERIUS TANGANI JANGKITAN VIRUS INFLUENZA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 8 Disember – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka sentiasa mengambil pendirian serius dan proaktif dalam mengawal peningkatan kes jangkitan virus influenza.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, beberapa pendekatan telah diambil antaranya memastikan ubat antiviral seperti Tamiflu sentiasa mencukupi untuk rawatan kepada pesakit termasuk kontak rapat yang berisiko tinggi.

“JKN Melaka juga giat menjalankan kempen kesedaran menerusi pelbagai platform media sosial selain jabatan itu juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan dalam pengurusan kluster wabak khususnya di institusi termasuk asrama.

“Selain itu juga dalam memastikan pengurusan kes dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan JKN Melaka juga sentiasa memastikan semua hospital dan klinik kesihatan mempunyai pakar serta pegawai perubatan terlatih untuk menangani jangkit kes influenza,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Hee Sem, JKN Melaka juga memantau rapat kemasukan kes jangkitan influenza ke hospital dan setakat Oktober 2025 seramai 3,449 orang individu telah dimasukkan ke Hospital Melaka.

“Difahamkan tiada kes serius dan mereka yang menerima rawatan di hospital dikategorikan kes Severe Acute Respiratory Infections’ (SARI) selain tiada kes kematian direkodkan,” katanya.

Katanya, dalam tempoh sama juga sejumlah 25, 751 kes dikesan dan telah mendapat rawatan di tiga klinik kesihatan di kesemua daerah di negeri ini.

“Klinik Kesihatan Peringgit merekodkan jumlah kes mendapatkan rawatan tertinggi dengan 15,110 kes, diikuti Klinik Kesihatan Masjid Tanah dengan jumlah 9,015 kes dan bagi Klinik Kesihatan Jasin pula sebanyak 1,626 kes,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUAS PEMBERIAN VAKSINASI UNTUK KUMPULAN RENTAN
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026: KEPERLUAN RAKYAT DITERJEMAH DALAM BENTUK TINDAKAN – RAIS