
KERAJAAN NEGERI TELITI ISU NELAYAN TERJEJAS, MUARA CETEK DI PANTAI SIRING
PAYA RUMPUT, 7 September – Kerajaan Negeri akan meneliti serta mencari jalan penyelesaian sewajarnya berhubung aduan nelayan Pantai Siring, Umbai mengenai muara cetek yang menjejaskan aktiviti harian mereka.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, beliau setakat ini masih belum menerima maklumat lengkap mengenai isu berkenaan.
Bagaimanapun jelasnya, beliau akan meminta laporan menyeluruh daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri dalam masa terdekat.
“Setakat ini saya masih belum mendapat laporan yang tuntas. Saya akan minta pihak JPS untuk menyediakan laporan khusus berhubung perkara ini.
“Saya masih ingat lebih kurang sebulan lalu saya bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, turun padang ke Pantai Siring bertemu nelayan. Saya yakin dan percaya, aduan mereka tidak pernah kita abaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di sini, hari ini.
Rais turut menegaskan pihaknya akan meneliti langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut selepas laporan penuh diperoleh.
Terdahulu, media melaporkan lebih 50 nelayan dan pengusaha bot pelancong di Jeti Pangkalan Pantai Siring, Umbai mahu pihak berwajib mengambil tindakan segera berhubung masalah air surut yang berlarutan sejak lebih empat tahun lalu.
Masalah itu menyebabkan sampan dan bot tidak dapat keluar masuk kerana muara dipenuhi lumpur ekoran kerosakan sistem pintu air.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.