Sorting by

×

KERAJAAN TELITI CADANGAN WUJUDKAN SURUHANJAYA TVET NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 12 Jun – Cadangan untuk mengangkat Majlis TVET Negara menjadi Suruhanjaya akan diteliti kerajaan tidak lama lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, hasrat tersebut wajar dipertimbangkan susulan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kini menjadi antara cabang pendidikan utama negara.

Jelas beliau, cadangan yang diusulkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara itu akan diteliti bersama Kementerian Kewangan sama ada ia boleh direalisasikan.

“Beberapa perkara perlu diteliti dan dilihat, antaranya, adakah semuanya mencukupi dari segi latihan, kepakaran teknikal, sinergi bersama syarikat-syarikat swasta serta lain-lain lagi dengan TVET sedia ada.

“Oleh sebab itu, antara tugas Majlis (TVET Negara) dan sekiranya wujud suruhanjaya ini adalah ke arah agenda transformasi TVET yang telah dimulakan dengan baik dan meyakinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Ahli-Ahli Jemaah Menteri; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan-Timbalan Menteri; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka serta lain-lain kenamaan.

Menurut Anwar, bidang TVET kini menjadi satu perubahan dalam landskap pendidikan negara di mana ia berlaku dengan cukup pesat apabila sehingga kini seramai hampir setengah juta pelajar TVET telah dilahirkan dalam negara.

Malah, ujar beliau, sambutan dalam bidang TVET pada tahun ini sahaja menunjukkan peningkatan luar biasa apabila mencecah 140,000 pelajar mendaftar dalam bidang itu.

“Dua atau tiga tahun lalu, keadaannya tidak sebegini, di mana, kita perlu adakah kempen khas untuk menarik minat anak muda dalam bidang keterampilan terlatih untuk syarikat yang melabur di negara ini.

“Tapi dengan ikhtiar semua pihak di bawah Pengerusi Majlis TVET Negara (Ahmad Zahid) ia sudah memberi kesan mendalam dan menunjukkan keyakinan semakin meningkat dalam kalangan anak-anak dan ibu bapa.

“Usaha ini tidak boleh dipandang remeh keraja jika kita mahu menuju ke arah negara maju, perlu adanya kesediaan untuk beralih paradigma terhadap mutu dan falsafah pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

592
Kongsi :
Previous post PM SETUJU CADANGAN GAJI MINIMUM RM3,000 UNTUK LULUSAN TVET
Next post LEBIH 140,000 ANAK MUDA DAFTAR DI INSTITUSI TVET TAHUN INI