Sorting by

×

KERAJAAN TERUSKAN OPERASI PEMBENIHAN AWAN, BANTU TINGKAT PARAS AIR EMPANGAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DUYONG 10 April – Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha pembenihan awan di Melaka bagi memastikan keperluan bekalan air negeri ini dapat dipenuhi susulan percubaan pertama yang kurang memberangsangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, percubaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) itu telah dilaksanakan semalam namun usaha itu dilihat kurang memuaskan.

Menurutnya, beberapa lagi percubaan akan dilaksanakan sehingga paras air di empangan dapat dipertingkatkan.

“Ini disebabkan mungkin luruan angin yang membawa awan itu tidak (mengena) tepat di tempat di mana empangan yang diperlukan itu.

“Jadi, Yang Berhormat Ketua Menteri telah memberitahu saya, untuk kita lakukan percubaan kali kedua dan ketiga sehingga paras air yang berada di empangan itu dapat dipertingkatkan jumlahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, malam ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata operasi pembenihan awan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kalau tidak berjaya dua kali, kita akan lakukan sehingga keperluan air di Melaka akan dapat dipenuhi dan kita tahu bahawa bekalan yang sekarang daripada Sungai Gersik (Johor).

“Jadi, kita akan membantu Kerajaan Negeri dari segi bekalan itu biar darang dari Melaka sendiri.,” katanya.

Dalam pada sama, beliau berkata selain Melaka, usaha pembenihan awan di negeri-negeri selatan termasuk Johor turut telah dimulakan, namun masih dalam peringkat pelaksanaan.

Sebaliknya, beliau berkata pelaksanaan di negeri utara seperti Perlis, Kedah dan Perak Utara menunjukkan hasil lebih positif apabila berlaku peningkatan paras air di empangan.

Beliau optimis keadaan bekalan air khususnya di Melaka dijangka bertambah baik menjelang pertengahan Mei.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

649
Kongsi :
Previous post DARI THREAD KE REALITI: TPM MERIAHKAN RUMAH TERBUKA MeSRa DI DUYONG