
KERETA TERBABAS, SUAMI ISTERI TERSELAMAT
PAYA RUMPUT 27 Mei – Pasangan suami isteri warga emas nyaris maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Cheng, di sini, pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu kereta A. Rajaparasmewaran, 66, dan isteri C. Davi, 64, bagaimanapun hanya mengalami kecederaan.
Difahamkan, ketika kejadian pasangan suami isteri berkenaan dalam perjalanan ke sebuah hospital di Klebang untuk melawat anak mereka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian Proton Saga terbabit dalam perjalanan dari Cheng menghala ke Pulau Gadong.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta dikatakan hilang kawalan sebaik melalui lokasi kejadian sebelum kenderaanya terbabas lalu berpusing ke pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu, penumpang kereta patah tulang rusuk kiri manakala pemandu dilaporkan hanya mengalami sakit pinggang,” katanya.
Menurut Christopher, siasatan lanjut diteruskan pihaknya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian untuk tindakan susulan.
“Siasatan awal dilakukan mendapati tiada kenderaan lain terlibat namun siasatan lanjut masih dilakukan.
“Malah polis turut mengesan saksi bebas yang berada di kejadian selain akan mendapatkan rakaman ‘dashcam’ untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.