Sorting by

×

KERJASAMA ERAT KERAJAAN NEGERI, MOTAC LANCARKAN PERSIAPAN WTD, WTC 2025

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 10 Julai – Persiapan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) dijadualkan berlangsung pada September ini sudah mencapai 90 peratus.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, segala perancangan dan persiapan bagi menyambut delegasi dari 159 negara itu berjalan lancar mengikut seperti yang ditetapkan.

Abdul Razak berkata, kelancaran persiapan sambutan bertaraf dunia itu adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Berbaki kira-kira 10 peratus sahaja lagi bagi memastikan kelancaran penganjuran ini, ia melibatkan persiapan pentas di lokasi utama sambutan.

“Satu kerjasama yang amat baik antara Kerajaan Negeri dan MOTAC, malah menerusi mesyuarat jawatankuasa teknikal diadakan hari ini juga kita mendapat satu lagi kesepakatan bersama.

“Antara yang dibincangkan tadi adalah aspek teknikal, persiapan penginapan dan pengangkutan selain sukarelawan bagi memastikan delegasi ini selesa sepanjang di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal WTD dan WTC 2025 Bilangan 2/2025 yang turut dihadiri Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan ser Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Chua Choon Hwa, hari ini.

Menurut Abdul Razak, sebanyak 12 jawatankuasa dilantik dan diberi tanggungjawab dalam menyelaraskan persiapan melibatkan penginapan, keselamatan dan kesihatan.

“Beberapa hotel terkemuka sudah dikenal pasti sebagai penginapan delegasi yang hadir ini malah kita turut menyediakan ‘liaison officer’ berpengalaman dalam sektor pelancongan dan kesenian untuk membantu mereka,” katanya.

Jelasnya, sambutan itu akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian yang akan membabitkan kesemua 14 negeri di Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1057
Kongsi :
Previous post GERAKAN BELIA 4B MALAYSIA DESAK TANGGUH PELAKSANAAN HAD UMUR BELIA MULAI 1 JANUARI 2026