Sorting by

×

KERJASAMA ILMIAH ANTARABANGSA, PERBETUL NARATIF SEJARAH MELAKA MASA LALU

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Perpustakaan Universiti Leiden, Belanda mampu memberikan gambaran naratif sebenar berhubung kehebatan Melaka yang pernah menguasai pentas samudera dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkongsi perasaan teruja dengan pelbagai penemuan ilmiah dan manuskrip bernilai tinggi sepanjang lawatan rasmi delegasi Kerajaan Negeri ke perpustakaan itu.

Katanya, tiga objektif utama lawatan ke perpustakaan itu adalah mengumpul dan mendigitalkan dokumen sejarah Melaka, membina jaringan kerjasama dengan institusi penyelidikan dan perpustakaan antarabangsa.

“Sementara itu objektif ketiga adalah, memastikan khazanah ilmu dan warisan sejarah Melaka dapat dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang. Kesemua dokumen ini perlu dibawa pulang, dikaji dan dipelihara sebagai bukti kegemilangan Melaka yang pernah menguasai pentas maritim dunia.

“Kerajaan Negeri Melaka komited untuk terus melestarikan warisan sejarah negeri dengan usaha pengesanan, pengumpulan, dan pemetaan semula khazanah yang kini berada di institusi luar negara demi memartabatkan nilai sejarah, keilmuwan Melaka agar terus diangkat seterusnya dikongsi bersama dunia,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Terdahulu pada lawatan itu delegasi Kerajaan Negeri Melaka disambut Pengarah Perpustakaan Universiti Leiden, Kurt De Belder dan Pustakawan Subjek Asia Tenggara, Marije Plomp.

Delegasi Kerajaan Negeri turut disertai Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.

Ab Rauf berkata, lawatan itu membawa makna yang cukup signifikan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hubungan ilmiah antarabangsa serta memperluas akses kepada dokumen-dokumen penting berkaitan sejarah Melaka.

“Perpustakaan Universiti Leiden menyimpan lebih 254,291 koleksi termasuk buku, jurnal, artikel, disertasi, gambar dan peta yang terkait dengan Malaysia, khususnya Melaka.

“Antaranya ialah Kisah Perang Melaka, Undang-Undang Belayar karya Bendahara, Pantun-Pantun Melayu (Maleische Pantun) yang disalin di Sumatera sekitar tahun 1900, pelbagai undang-undang Negeri dan pelayaran, serta banyak lagi karya bernilai tinggi yang menjadi khazanah tidak ternilai bagi kajian dan pemeliharaan warisan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

587
Kongsi :
Previous post WRUR BEMBAN RINGANKAN BEBAN MANGSA BANJIR KAMPUNG ASAM KUMBANG
Next post PERZIM USAHA DAPATKAN AKSES DOKUMEN SEJARAH MELAKA DI PELBAGAI NEGARA