Sorting by

×

KERJASAMA UNIMEL, ALAM LAHIRKAN TENAGA MAHIR BIDANG MARITIM

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LINGGI 3 Jun- Kerajaan Negeri membuka ruang dan peluang bagi jalinan kerjasama antara Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dan Akademi Laut Malaysia (ALAM) bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir, sekali gus memenuhi kehendak pasaran semasa industri maritim.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara bentuk kerjasama boleh dilaksanakan antara kedua-dua institusi pengajian tinggi itu adalah mewujudkan beberapa bidang pensijilan dan penarafan akademik membabitkan maritim.

“Kita akan mulakan langkah awal untuk melihat kebolehupayaan kerjasama antara kedua-dua institusi ini, menzahirkan pelbagai sumber manusia untuk dijadikan sumber industri sokongan kepada bidang maritim di Melaka.

“Bidang maritim ini amat luas, sekiranya kita meneroka jauh ke dalam untuk mengembangkan lagi industri ini dengan kerjasama dua pihak, ia dapat menzahirkan pelbagai peluang pekerjaan yang sedang rancak diusahakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Rasmi dan Majlis Ramah Mesra Kerajaan Negeri Melaka Bersama Warga Akademi Laut Malaysia (ALAM) Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur; Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah serta Ketua Eksekutif ALAM, Ts. Dr. Kapten S Manivannan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata ALAM sudah mencapai empat dekat dan berusia 48 tahun telah melahirkan 15,000 tenaga kerja mahir dalam bidang berkaitan maritim.

“Saya menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar ALAM dalam memperkasakan sektor maritim khususnya di Melaka.

“ALAM juga kini sedang dalam usaha mendapatkan status Kolej Universiti menjelang akhir tahun, Kerajaan Negeri menyokong aspirasi ini dan ALAM layak menjadi hab kecemerlangan ilmu serta latihan maritim di rantau ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1619
Kongsi :
Previous post TIGA PELABUHAN BAHARU DILULUSKAN DI MELAKA
Next post WARGA UK HILANG: POLIS RAKAM KETERANGAN DUA INDIVIDU