Sorting by

×

KEROSAKAN RUMAH, TANAH RUNTUH ANTARA ISU UTAMA PENDUDUK GADEK

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

GADEK 11 April – Aduan berkaitan kerosakan rumah, keperluan baik pulih serta isu tanah runtuh dikenal pasti sebagai antara masalah utama disuarakan penduduk pada Hari Aduan Rakyat sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Gadek Alor Gajah: Kampung Kita di Taman Sebang Gemilang, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata, program itu menjadi platform penting kepada penduduk untuk terus menyuarakan permasalahan mereka, termasuk aduan lama yang masih belum diselesaikan.

Menurutnya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila orang ramai mula hadir seawal jam 8 pagi bagi membuat pendaftaran dan mengemukakan aduan kepada agensi terlibat.

“Antara aduan yang banyak diterima adalah kerosakan rumah, keperluan baik pulih dan juga isu tanah runtuh.

“Ada juga aduan telah lama dikemukakan tetapi belum diselesaikan, jadi mereka mengambil peluang hadir ke program ini untuk mendapatkan perhatian dan tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari ini pada Hari Aduan Rakyat sempena Program WRUR DUN Gadek Alor Gajah: Kampung Kita di Taman Sebang Gemilang, di sini, hari ini.

Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, secara keseluruhannya maklum balas daripada penduduk adalah positif dan menunjukkan penerimaan baik terhadap pendekatan turun padang yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Menerusi Hari Aduan Rakyat ini, saya berharap masalah rakyat dapat diselesaikan secepat mungkin, sekurang-kurangnya dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi kes kecil dan sederhana.

“Program WRUR dianjurkan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ini membuktikan komitmen untuk memahami dan menyelami keperluan rakyat secara langsung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post TOK RAOP GAMIT MEMORI BERGELAR PELAJAR SMK GHAFAR BABA
Next post MESRA TURUT FOKUS KEPADA ASPEK PENDIDIKAN, KEBAJIKAN RAKYAT