Sorting by

×

KES INFLUENZA A DI MELAKA TERKAWAL – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MELAKA 8 Oktober – Situasi semasa Influenza A di Melaka berada pada tahap terkawal walaupun berlaku peningkatan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 bagi tempoh dari 28 Sept hingga 4 Okt lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata dalam ME40 juga menyaksikan wabak Influenza A telah dilaporkan di sebuah sekolah di daerah Alor Gajah, namun ia berjaya dikawal hasil langkah segera oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM).

Beliau berkata pelajar yang bergejala telah dibenarkan pulang dan menjalani proses pembelajaran di rumah bagi mengelakkan penularan.

“JKNM akan terus memantau perkembangan penyakit berjangkit dan melaksanakan langkah pencegahan serta kawalan secara berterusan dengan kerjasama pelbagai agensi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ngwe berkata keseluruhannya kadar konsultasi ILI bagi negeri ini meningkat kepada 12.5 peratus pada ME40 iaitu dari 28 Sept hingga 4 Okt, berbanding 10.4 peratus pada minggu sebelumnya (ME39).

Beliau berkata peningkatan lebih ketara dikesan dalam kalangan pesakit bawah 18 tahun iaitu 34.2 peratus (29 peratus pada ME39), manakala bagi dewasa 18 tahun ke atas adalah 6.8 peratus (6.2 peratus pada ME39).

Sementara itu, Ngwe berkata kadar kemasukan kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) menurun kepada 11.8 peratus pada ME40 berbanding 12.5 peratus pada ME39.

“Setakat ME40, sebanyak 160 kes Influenza A dikesan di Melaka iaitu 97 kes (H1N1) dan 63 kes (H3N2) manakala 46 kes lagi Influenza B serta 122 kes COVID-19,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1136
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN MADANI 2026 CERMIN HALA TUJU NEGARA – PM ANWAR