Sorting by

×

KES PUKUL ISTERI TULAR: POLIS MASIH KESAN SUSPEK

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KLEBANG 19 Mac – Seorang wanita berusia 20 tahun yang dipercayai dipukul dan dikasari suaminya dalam video tular di hadapan sebuah premis di Kota Syahbandar, Ahad lalu, dilaporkan selamat manakala suspek masih diburu polis.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh ibu mangsa berusia 51 tahun selepas mendakwa anaknya menjadi mangsa kekerasan.

Menurut beliau, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital dan berada dalam keadaan selamat.

“Isteri dan anaknya berusia dua tahun ada dan selamat tetapi suami tidak dapat dikesan dipercayai melarikan diri.

“Bagaimanapun polis yakin suspek akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Ronda Santai Panjut Pelita Bersama Ketua Polis Melaka di Balai Polis Batang Tiga, di sini, hari ini.

Ahad lalu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira dua minit memaparkan suspek bertindak memukul dan menampar mangsa serta melanggar kepala mangsa yang terbaring menggunakan motosikal.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes berkenaan kini masih dalam siasatan pihak polis.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita sedang mengumpul maklumat berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta tampil membantu siasatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

228
Kongsi :
Previous post KPDN MELAKA CATAT NILAI RAMPASAN LEBIH RM600,000 KURANG TIGA BULAN
Next post AYAM RM5 ‘DISERBU’ PENDUDUK LENDU