
KES TEMBAK MATI DI KEDAI MAKAN, LELAKI WARGA ASING DIREMAN
JOHOR BAHRU 16 Julai – Seorang lelaki warga asing direman tujuh hari hingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang ditembak di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah di sini pada 8 Jan lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki warga asing berusia 65 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang semalam di sekitar Johor Bahru.
“Disahkan ada tangkapan semalam melibatkan seorang lelaki warganegara asing berusia 65 tahun di sekitar pusat bandar raya Johor Bahru dan kini masih lagi dalam siasatan untuk mengesahkan pembabitan dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status sembilan suspek yang direman Mac lepas berkaitan kes sama, Raub berkata kesemua suspek telah dibebaskan.
“Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dan berkeputusan dibebaskan,” katanya ringkas.
Sebelum ini, media melaporkan sembilan suspek berusia 36 hingga 66 tahun dipercayai ahli kongsi gelap direman bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki dalam kejadian tembakan di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah di sini pada 8 Jan lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar dilaporkan berkata kesemua ditahan menerusi beberapa operasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada 8 dan 17 Mac lepas.
Beliau berkata sebelum tangkapan sembilan lelaki terbabit, seorang lagi suspek berumur 64 tahun dipercayai terlibat dalam insiden pembunuhan itu telah ditembak mati oleh polis ketika operasi pertama dijalankan.
Menerusi serbuan tersebut juga, polis turut merampas dua pucuk pistol, peluru, dadah dan pistol angin dan kes disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta mengikut seksyen 8 Akta Senjata Api, seksyen 8(a) sert seksyen 36 Akta Senjata 1960. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.