Sorting by

×

KESEJAHTERAAN HIDUP GOLONGAN RENTAN TERUS DIBERI PERHATIAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM79.8 juta kepada 29,247 penerima bantuan bermula Januari sehingga Jun 2025.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin (BN-Pengkalan Batu) berkata peruntukan itu melibatkan empat skim iaitu Bantuan Kanak-Kanak; Bantuan Warga Emas; Bantuan Am negeri dan Bantuan orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja.

Katanya, Kerajaan Negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif kebajikan mesra rakyat yang bertujuan meringankan beban kumpulan sasar dalam kategori rentan iaitu Bantuan Mesra Lampin Pakai Buang Dewasa dan Bantuan Mesra Susu Orang Terlantar.

“Sementara itu Skim bantuan (Bantuan Mesra Lampin pakai Buang Dewasa) ini mengikut statistik JKM sehingga Fasa 3 Tahun 2025 seramai 2,895 telah mendapat manfaat daripada inisiatif dilaksanakan dengan RM1.27 juta telah disalurkan.

“Manakala bagi Bantuan Mesra Susu Orang Terlantar seramai 332 penerima dan inisiatif ini melibatkan kos RM1.05 juta telah disalurkan.

“Jumlah keseluruhan rakyat negeri ini yang menerima manfaat adalah seramai 3,227 penerima dan menelan belanja sebanyak RM2.34 juta untuk fasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mengenai had pendapatan bagi pemohon bantuan JKM pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata antara inisiatif lain membabitkan Program Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Negeri Melaka iaitu merupakan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu ketua isi rumah yang tergolong dalam kalangan miskin tegar.

“Pada 2025, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta kepada 1,120 KIR Miskin yang terlibat dalam pembersihan surau, masjid dan tanah perkuburan di seluruh negeri yang dipantau oleh setiap Pejabat Daerah dan Perbadanan Melaka Holdings (PMH).

“Sehingga Julai 2025, seramai 1,084 KIR miskin telah menerima manfaat dengan perbelanjaan sebanyak RM2.25 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post MELAKA CETUS PELANCONGAN SEBAGAI INDUSTRI BAHARU
Next post WARGA EMAS TERIMA PERUNTUKAN TERTINGGI DALAM BANTUAN JKM MELAKA