
KETUA MENTERI AKAN BANTU SJKC BERTAM ULU DAPATKAN BANGUNAN BAHARU
SUNGAI UDANG 28 Mei – Permohonan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu, di sini, untuk mendapatkan bangunan baharu akan diberi perhatian penuh oleh Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bangunan baharu itu sepatutnya sudah diluluskan dalam peruntukan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK 9), namun ia telah ditangguhkan sehingga sekarang.
Justeru itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri akan berusaha merealisasikan hasrat itu supaya hampir 200 murid berbilang kaum di sekolah itu mendapat fasiliti pendidikan yang berkualiti.
“Saya melihat perkara ini mesti diangkat semula supaya sekolah yang berdepan masalah kepadatan murid ini dapat diberi perhatian penuh.
“Saya difahamkan, bangunan baharu itu juga merangkumi bilik khas bagi kelas agama Islam memandangkan terdapat hampir 100 murid berbangsa Melayu mendapatkan pendidikan di sekolah ini.
“Jadi dalam pendekatan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) ini, kita telah dapat menerima beberapa permohonan daripada sekolah ini sendiri dan insya Allah saya akan menguruskannya dan kita akan beri maklum balas semula dalam masa yang terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Pemimpin Tempatan Masyarakat Cina bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di SJKC Bertam Ulu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta pemimpin-pemimpin setempat.
Terdahulu, pada majlis itu, Ab Rauf meluangkan masa lebih setengah jam menyantuni pemimpin masyarakat dan penduduk berbangsa Cina di kawasan itu bagi mendengar sendiri segala permasalahan yang perlu dibantu Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.