
KETUA MENTERI ARAH SEMUA AGENSI GEMBLENG TENAGA BANTU MANGSA RIBUT DI MELAKA
AYER KEROH 29 Jun – Semua agensi berkaitan diarah menggembleng tenaga dan sumber untuk membantu penduduk yang terkesan dengan bencana ribut.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tindakan segera akan diambil bagi membaiki kerosakan yang berlaku, termasuk bantuan khas bencana kepada keluarga yang terjejas dan memerlukan.
“Saya difahamkan ada rumah yang mengalami kerosakan serius termasuk bumbungnya tercabut.
“Justeru, saya memberi jaminan bahawa laporan penuh kejadian ini akan diteliti dan diselaraskan bersama agensi terlibat untuk tindakan segera dan menyeluruh.
‘Ini masa untuk kita berganding bahu. Setiap agensi perlu bertindak pantas, cekap dan penuh empati demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum kejadian ribut itu berlaku di beberapa kawasan termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara telah mengarahkan Setiausaha Japerun Tanjung Bidara bersama Penghulu DUN untuk meninjau dan mengumpul maklumat awal berkaitan kerosakan, terutama melibatkan bumbung rumah penduduk.
“Saya mendoakan agar semua keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini. Semoga urusan bantuan dan pemulihan dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.