
KETUA MENTERI PRIHATIN NASIB MANGSA KEBAKARAN DI PENGKALAN BALAK
TANJUNG BIDARA 9 Januari – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu perumpamaan menggambarkan nasib penduduk di Jalan Solok Dekat, Pengkalan Balak yang diuji dengan musibah kebakaran.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam, rumah separa kekal yang didiami Ramli Hassan dan keluarganya terbakar 60 peratus dengan keluasan kebakaran 30×70 kaki persegi.
Nasib menimpa keluarga itu bagaimanapun mendapat perhatian segera Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mewakilkan Setiausaha Politiknya Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid untuk menziarahi dan menyampaikan bantuan awal kepada mangsa.
Lawatan itu turut disertai wakil daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Japerun Tanjung Bidara dan pemimpin setempat.

Menurut Abdul Hakim, Kerajaan Negeri menerusi agensi berkaitan akan mengambil tindakan segera bagi membantu keluarga berkenaan.
Terdahulu, dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan oleh Ketua Menteri kepada keluarga berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.48 tengah hari dan menggerakkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah ke lokasi kejadian.
Pihak bomba mengambil masa hampir 20 minit untuk mengawal kebakaran dan operasi tamat pada jam 3.46 petang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


