
KETUA MENTERI SERU SOKONGAN RAKYAT MELAKA JAYAKAN AGENDA KERAJAAN NEGERI
TELOK MAS 29 Jun – Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen dan sokongan rakyat Melaka dalam menjayakan setiap agenda dan program yang diadakan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka kini bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pelancongan malah lokasi pilihan bagi penganjuran program berskala besar termasuk peringkat kebangsaan dan antrabangsa.
“Malah tumpuan akan diberikan kepada Melaka sehingga hujung tahun ini apabila akan berlangsungnya Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 serta Majlis Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).
“Ini bukti bahawa Melaka mempunyai ekosistem sosial, infrastruktur dan semangat rakyat yang bersedia untuk mendukung pelbagai agenda pembangunan.
“Justeru itu, saya mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang untuk terus bersama-sama menjayakan agenda kesejahteraan negeri dengan memberi sokongam kepada program-program seumpama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Keluarga Kota Melaka di Padang Bola Sepak Taman Seri Telok Mas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Adun Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Adun Kesidang, Allex Seah Shoo Chin; Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas penganjuran hari keluarga itu, Ab Rauf berkata, ia menjadi platform penting untuk memupuk gaya hidup sihat dan aktif sejajar dengan matlamat kerajaan negeri yang memperkasa kesejahteraan rakyat.
“Ia juga adalah simbol keutuhan institusi kekeluargaan yang menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan negeri.
“Ini juga membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira tempat dan masa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.