Sorting by

×

KETUA MENTERI ‘TERJAH’ WRUR BEMBAN, SANTUNI PENDUDUK KAMPUNG

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BEMBAN 28 Jun – Meskipun berdepan jadual yang padat dalam memimpin negeri, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini, mencuri masa turun padang ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban bagi mendekati komuniti di kawasan itu.

Ia bersempena penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban yang kini berlangsung selama dua minggu bermula 22 Jun lalu.

Ab Rauf yang tiba kira-kira jam 1 tengah hari tadi disambut Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop serta pemimpin setempat yang hadir.

Beliau kemudiannya menjelajah ke beberapa lokasi antaranya mendekati anak muda dalam dua acara sukan iaitu pertandingan futsal dan sepak takraw Piala Tuan Mohd Raziff.

Pertandingan futsal telah diadakan di Japerun Bemban, manakala sepak takraw bertempat di Balai Raya Kesang Tua yang menjadi antara pengisian program membabitkan belia dan sukan sepanjang WRUR Bemban.

Selepas itu, Ketua Menteri menuju ke Dataran Sungai Tehel, Parit Lampong yang menjadi lokasi penganjuran pertandingan memancing dan Hari Keluarga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit Lampong.

Beliau meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni penduduk di kawasan itu, di samping turut mengambil peluang melihat beberapa penambahbaikan yang boleh dilaksanakan di DUN Bemban.

WRUR Bemban yang berlangsung selama dua minggu bakal diwarnai sebanyak 135 program yang memberi manfaat besar kepada kira-kira 34,000 penduduk serta 16 JPKK di kawasan itu.

Kemuncak program itu dijadual berlangsung pada 5 Julai depan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang dengan pelbagai program menarik, antaranya Hari Bertemu Rakyat, pertandingan dan sukan rakyat serta pameran agensi dan jabatan kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2422
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA PERUNTUKAN KHAS BAIK PULIH, BINA BAHARU RUMAH ORANG ASLI