Sorting by

×

‘KETUA PEMBANGKANG TAK FAHAM BAJET’ – DR. AKMAL

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 8 Disember – Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyelar tindakan Ketua Pembangkang Dr. Mohd Yadzil Yaakub yang didakwa mengelirukan rakyat mengenai Bajet Negeri Melaka 2026.

Beliau berkata, tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban itu yang mendakwa Bajet Negeri Melaka 2026 sebagai bajet defisit adalah tidak benar sama sekali, selain cuba membawa naratif negatif kepada Kerajaan Negeri.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, ia sekali gus menunjukkan bahawa Ketua Pembangkang itu sama sekali tidak faham mengenai bajet yang dibentangkan walaupun sudah beberapa tahun bergelar wakil rakyat.

“Setelah saya teliti semula kenyataan Ketua Pembangkang di sebuah portal, saya dapati tuduhan mengatakan bajet 2026 sebagai bajet defisit adalah kerana beliau menambah anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM528.8 juta dengan perbelanjaan pembangunan RM93 juta.

“Rupa-rupanya dia sendiri tidak faham bahawa perbelanjaan pembangunan itu tidak dimasukkan kerana ia merupakan peruntukan yang digunakan menerusi hasil negeri, pemberian Geran TAHAP dan EFT daripada Kerajaan Persekutuan.

“Jadi, Ketua Pembangkang jika tidak faham, tanya..Bukan buat-buat faham macam pandai, tapi akhirnya kosong. Kita tidak mahu permainan sebegini dibawa untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Dr. Muhamad Akmal turut mempersoalkan bagaimana Ketua Pembangkang mahu menjadi Ketua suatu hari nanti jika tidak memahami mengenai bajet atau belanjawan yang dibentangkan.

Beliau turut meminta Dr. Mohd Yadzil untuk memperbetulkan kenyataan dan membuat permohonan maaf kerana cuba memberi imej negatif kepada Kerajaan Negeri mengenai tuduhan palsu dan tidak berasas.

“Mahu bangkang, kita tiada masalah. Tapi lawanlah dengan fakta bukan dengan auta,” tegas beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

285
Kongsi :
Previous post 1,500 KAMPIT BERAS MELAKA DI PASARAN SETIAP BULAN – EXCO
Next post MELAKA TAMBAH PERUNTUKAN RANCAKKAN PEMBANGUNAN USAHAWAN, KOPERASI