
KEUNIKAN MAKANAN, SUASANA DI MELAKA BIKIN PELANCONG INDONESIA ‘JATUH HATI’
BANDARAYA MELAKA 2 Januari – Melaka terus menjadi tumpuan pelancong luar negara apabila ramai pelawat dari Indonesia memilih negeri bersejarah ini sebagai destinasi percutian bersama keluarga sempena tahun baharu 2026.
Bagi Dwi Ambar Setyaningsih, 36, dari Dumai, Indonesia, Melaka dipilih kerana suasananya yang sesuai untuk percutian keluarga terutama ketika musim perayaan.
“Kami datang ke Malaysia sempena tahun baharu kerana keluarga dapat berkumpul, ada orang tua dan anak-anak juga mahu berseronok. Jadi kami pilih melancong ke sini.
“Saya datang bersama enam ahli keluarga dan akan menetap di Melaka selama tiga hari.
“Di Melaka banyak tempat makan menarik. Kalau ke sini memang wajib ke Jonker Street dan Bangunan Merah, kami juga mahu membeli cenderahati serta coklat gula Melaka. Paling penting, memang datang Melaka untuk jalan-jalan dan makan,” katanya kepada pemberita di Kompleks ICQS Terminal Feri Antarabangsa Melaka, di sini, semalam.
Sementara itu Wesley Siagian, 40, dari Riau, Indonesia berkata, Malaysia khususnya Melaka sering menjadi pilihan utama percutian hujung dan awal tahun.
“Kebiasaannya hujung tahun atau awal tahun kami memang akan melancong. Destinasi yang sering kami kunjungi adalah Melaka, kemudian ke Kuala Lumpur sebelum pulang ke Indonesia.
“Faktor jarak yang dekat, kos percutian berpatutan serta sikap masyarakat tempatan yang mesra menjadi tarikan utama pelancong Indonesia ke Malaysia.
“Malaysia paling dekat dengan Riau, harganya juga murah, orangnya ramah dan budayanya mirip Indonesia. Kami juga disambut dengan pelbagai persembahan kebudayaan sewaktu tiba di Melaka ,” katanya.
Wesley turut menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan menjadi rujukan dari segi pembangunan.
“Indonesia banyak belajar daripada Malaysia tentang pembangunan, sebab itu saya rasa perlu datang ke sini, paling tidak sekali setahun.
“Saya datang bercuti bersama isteri dan dua anak, kami akan bermalam di Melaka sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands, Pahang, dengan tempoh percutian selama lima hari,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


