Sorting by

×

KILANG BISKUT 40 TAHUN DI REMBIA PACU EKONOMI SETEMPAT

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

REMBIA 12 Ogos – Syarikat pengeluar biskut terkenal yang bertapak lebih 40 tahun di Dewan Undangan Negeri (DUN Rembia terus memainkan peranan penting dalam membantu memacu ekonomi setempat menerusi peluang pekerjaan dan program kemasyarakatan.

Pengurus Besar Julie’s Manufacturing Sdn Bhd, Lee Boon Seng berkata, syarikat itu bukan sahaja memfokuskan kepada pengeluaran produk berkualiti ke lebih 80 buah negara tetapi turut mengambil berat kesejahteraan masyarakat setempat khususnya di Rembia.

Katanya, antara langkah yang diambil pihak syarikat bagi membantu golongan memerlukan adalah menawarkan pekerjaan secara ‘flexi hours’ yang membolehkan individu atau masyarakat setempat mendapat pendapatan sampingan.

“Inisiatif ini mula diperkenal sejak empat tahun lalu apabila ramai yang ingin bekerja terutamanya ibu tunggal atau pelajar yang sedang cuti semester tetapi berdepan kekangan untuk bekerja dalam satu tempoh yang panjang.

“Justeru itu ‘flexi hours’ diperkenalkan yang mana mereka boleh datang bekerja dalam tempoh pendek sama atau dua, tiga atau empat jam dan sebaik tamat waktu bekerja mereka akan terus dibayar secara tunai.

“Cara ini amat membantu terutamanya mereka yang memerlukan sumber pendapatan secara harian dan sehingga kita inisiatif ini sudah memberi manfaat kepada kira-kira 500 orang, khususnya penduduk di Rembia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, kilang biskut terkenal itu menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama delegasi Kerajaan Negeri bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia, di Taman Industri Kelemak, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Urusan Julie’s Manufacturing Sdn Bhd Su Chin Hock; Pengarah Julie’s Manufacturing Sdn Bhd Martin Ang serta lain-lain kenamaan.

Menurut Boon Seng, inisiatif yang dijalankan pihak syarikat secara tidak langsung memberi impak positif bukan sahaja dalam sudut menyediakan peluang pekerjaan tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi.

“Selain itu juga inisiatif ‘Love Funds’ turut diilhamkan oleh Pengarah Urusan bagi membolehkan warga Julie’s untuk berkongsi kesusahan dan membantu insan memerlukan termasuk pekerja syarikat itu.

“Sehingga kini kita telah berjaya mengumpul sejumlah lebih RM600,000 dan wang tersebut digunakan untuk membantu mereka memerlukan, termasuk mangsa banjir di Kelantan dan Johor,” katanya.

Sementara itu, jelasnya kedatangan Ketua Menteri ke kilang itu merupakan satu penghargaan dan pengiktarafan kepada pihak syarikat dalam terus memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

671
Kongsi :
Previous post MAIM LAHIRKAN SUKARELAWAN BANTU ASNAF
Next post TOURISM MELAKA, MENARA TAMING SARI BUKTIKAN KEUNGGULAN SEKTOR PELANCONGAN MELAKA