Sorting by

×

KITARECYCLE MELAKA KUMPUL LEBIH 800 TAN SISA KITAR SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KLEBANG 13 Mac – Program KITARecycle yang dilaksanakan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) merekodkan kutipan lebih 800 tan barangan kitar semula di Negeri Melaka sejak diperkenalkan pada 2018 hingga Februari 2026.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, jumlah itu bersamaan 800,298 kilogram (kg) hasil penyertaan 25,595 ahli yang berdaftar dalam program tersebut di negeri ini.

Katanya, mengikut rekod sehingga Februari tahun ini, kertas merupakan barangan kitar semula paling tinggi dikumpulkan iaitu sebanyak 13.29 tan (13,286 kilogram).

“Kedua tertinggi dikumpulkan adalah plastik 3.02 tan (3,017 kg), logam 2.16 tan (2,158 kg) dan sisa elektronik atau e-waste sebanyak 1.55 tan (1,547 kg).

“Bagi memudahkan orang ramai menyertai program ini, beberapa fasiliti Pusat Pandu Lalu KITARecycle turut disediakan di negeri ini antaranya di Taman Botanikal Melaka Ayer Keroh; TS Park Taman Desa Bertam serta Pangsapuri Sungai Putat, Batu Berendam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Strategi Operasi Aidilfitri dan Program Iftar SWM Environment Melaka bersama Agensi Rakan Strategik, Media dan Anak Yatim 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor; Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Melaka Khaw Su Aun; Pengurus Kawasan Perkhidmatan SWM Environment Melaka Norariffin Nordin serta jemputan lain.

Mengulas lanjut, Mohd Norlisam berkata, secara keseluruhannya, program KITARecycle yang dilaksanakan di lima negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor telah merekodkan seramai 156,885 ahli.

Manakala jumlah kutipan barangan kitar semula yang direkodkan bagi lima negeri, ujar beliau adalah sebanyak 7,191.52 tan sejak 2018 hingga Februari tahun ini.

“Program ini bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lestari di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

626
Kongsi :
Previous post BELUM TERLAMBAT RASAI SUASANA IFTAR DI HOTEL MITC
Next post ‘RUMAH KEK’ KAMPUNG LANJUT MANIS