
KOD QR MUDAHKAN ORANG PAYA RUMPUT SALUR ADUAN
PAYA RUMPUT 18 Februari – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin memanfaatkan kod QR bagi memudahkan penduduk di DUN itu menyuarkan permasalahan, mencakupi pelbagai aspek termasuk kebajikan.
Rais berkata, inisiatif itu dilaksanakan sejak awal beliau menggalas tanggungjawab sebagai Adun Paya Rumput kerana dilihat lebih mudah, mesra pengguna, cepat dan mengikut perkembangan teknologi dunia digital semasa.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, kaedah digital itu juga memudahkan petugas Japerun dan beliau sendiri memantau sebarang isu disuarakan rakyat.
“Kod QR berkenaan diletakkan di lokasi-lokasi tumpuan ramai seperti masjid, cuma perlu imbas, isi ‘Google Form’ menggunakan telefon pintar untuk buat aduan, maklumat ini kemudian disalurkan kepada agensi atau jabatan berkaitan mengikut jenis permasalahan dibangkitkan oleh rakyat.
“Jadi proses menguruskan permasalahan rakyat ini menjadi lebih tersusun dan pantas. Namun bagi sesetengah kes mengambil masa untuk diselesaikan berikutan terkait dengan agensi atau jabatan persekutuan.
“Jika bawah tanggungjawab agensi atau jabatan Kerajaan Negeri khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) insya-Allah kita akan cuba untuk selesaikan secepat mungkin,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Wawancara Khas Sempena Karnival Demi Paya Rumput.
Tambah beliau, penggunaan kod QR tidak membataskan saluran untuk orang Paya Rumput membuat aduan, kerana keadah lain seperti aplikasi Whatsapp, telefon dan perjumpaan empat mata dengan hadir ke Japerun tetap dilaksanakan.
“Namun masih ramai juga yang selesa untuk datang terus ke Japerun, kita tidak melupakan kaedah ini yang sudah pastinya amat berkesan dalam menyantuni rakyat.
“Secara peribadi saya juga gemar untuk berjumpa empat mata dengan rakyat, boleh dengar secara terus apa masalah mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


