Sorting by

×

KOLEJ TINGKATAN ENAM TUN FATIMAH RAIH ANUGERAH NYALA HARAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

DUYONG 2 Disember – Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Tun Fatimah Melaka (KTEPTFc) mencipta sejarah apabila muncul sebagai institusi prauniversiti pertama di Malaysia menerima Anugerah Nyala Harapan bagi kategori Sekolah Lepas Menengah.

Anugerah itu disampaikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Majlis Nyala: Kisah Reformasi Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Pengetua KTEPTFc Zunita Zulkifli Stork berkata, anugerah itu merupakan hadiah bermakna bagi warga kolej kerana ia mencerminkan usaha kolektif guru dan pelajar dalam mengekalkan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Ini adalah bukti bahawa apabila seluruh warga sekolah percaya kepada potensi pelajar, kita mampu mencipta kejayaan yang luar biasa.

“Kejayaan ini turut didorong oleh peningkatan signifikan dalam kehadiran murid, disiplin, pencapaian akademik serta penglibatan aktif pelajar dalam pelbagai program pembangunan sahsiah.

“Kami bukan sahaja fokus kepada keputusan peperiksaan tetapi juga usaha membentuk karakter dan kepimpinan pelajar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Zunita berkata penilaian Anugerah Nyala Harapan melalui instrumen SKPM K@S melibatkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara sebelum diverifikasi oleh Jemaah Nazir dalam tiga peringkat penilaian, menjadikan kemenangan itu lebih bermakna bagi seluruh warga KTEPTFc.

“Kejayaan ini memberi inspirasi kepada warga kolej untuk terus memperkukuh model pendidikan prauniversiti yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik tetapi pembangunan insan secara menyeluruh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

269
Kongsi :
Previous post TABIKA PERPADUAN LUAR BANDAR TERUS BEROPERASI