Sorting by

×

KOMITMEN MELAKA ANJUR PIDATO RUKUN NEGARA TERIMA PENGIKTIRAFAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Januari – Kementerian Perpaduan Negara menyalurkan peruntukan sebanyak RM60,000 kepada Kerajaan Negeri sebagai galakan dan pengiktirafan atas usaha berterusan menganjurkan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu mencerminkan kepercayaan kementerian terhadap keupayaan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program berskala kebangsaan berteraskan pemerkasaan perpaduan nasional.

“Pertandingan ini bukan sekadar medan mengasah bakat berhujah, malah sebagai wahana perjuangan intelektual yang menterjemahkan prinsip Rukun Negara. Pidato bukan sekadar lafaz kepada penghayatan yang hidup, ia akan berakar di jiwa serta membentuk jati diri warganegara yang cintakan perpaduan dan setia kepada tanah air.

“Terima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara atas sokongan dan kepercayaan penuh yang diberikan kepada Negeri Melaka selain panduan serta dorongan berterusan bagi menjayakan penganjuran program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Sempena Penghargaan Jawatankuasa Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang diiringi Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof. Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah serta kenamaan lain.

Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan membuktikan peranan Melaka sebagai antara negeri peneraju agenda perpaduan negara, di samping melahirkan anak watan yang berwibawa dan berkeupayaan tinggi dalam seni pidato.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post PENGLIBATAN SEMUA KAUM TARIKAN FESTIVAL KUIH TRADISIONAL AIDILFITRI TAHUN KE-5
Next post MELAKA SASAR PENYERTAAN OKU DALAM PIDATO RUKUN NEGARA 2026