Sorting by

×

KOMITMEN MPHTJ KURANGKAN RISIKO BANJIR KILAT TAMAN BUKIT BERUANG BESTARI

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 11 Julai – Projek menaik taraf sistem perparitan di Taman Bukit Beruang Bestari yang telah diselesaikan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bakal mengurangkan risiko banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan itu.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, skop projek itu melibatkan aspek naik taraf longkang sedia ada daripada saiz kecil 450 milimeter (mm) kepada saiz lebih besar 900 mm bagi meningkatkan keupayaan aliran air.

Selain itu, jelas beliau, projek itu turut melibatkan pembinaan laluan saliran baharu serta pemasangan flap gate bagi mengawal aliran air masuk dan keluar secara lebih efisien.

“Pelaksanaan projek ini didorong oleh beberapa aduan yang diterima daripada penduduk berhubung kejadian banjir kilat, saliran tersumbat dan air bertakung, khususnya di kawasan kebun kelapa berhampiran.

“Tujuan utama projek ini adalah untuk mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku selepas hujan lebat. Kita ambil tindakan segera agar masalah ini tidak berlarutan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Sapiah, dengan kerja-kerja menaik taraf itu yang kini telah selesai, penduduk dijangka menikmati beberapa manfaat seperti aliran air yang lebih lancar, persekitaran yang lebih bersih serta peningkatan tahap keselamatan terutama ketika musim hujan.

“Apabila air tidak lagi bertakung, kita juga dapat mengurangkan risiko pembiakan nyamuk dan penularan penyakit bawaan air.

“Bagi memastikan sistem perparitan ini terus berfungsi dengan baik, MPHTJ akan menjalankan pemantauan berkala termasuk pemeriksaan fizikal dan penyelenggaraan rutin selepas musim hujan.

“Maklum balas daripada penduduk juga akan dijadikan petunjuk keberkesanan sistem ini. Jika timbul sebarang isu, kita akan ambil tindakan segera untuk menyelesaikannya,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa MPHTJ sedang menilai keadaan sistem perparitan di taman-taman berhampiran dan bersedia melaksanakan projek serupa berdasarkan keperluan serta keutamaan.

“Diharapkan komuniti setempat dapat bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan sistem yang dinaik taraf ini terus berfungsi dengan baik dan tidak tersumbat semula.

“Antara langkah penting ialah tidak membuang sampah ke dalam longkang, menyertai aktiviti gotong-royong serta melaporkan segera kepada MPHTJ sekiranya berlaku kerosakan atau penyumbatan,” katanya.

Terdahulu, sesi penyerahan projek yang telah siap itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; Ahli Majlis MPHTJ, Clr. V. Sandrasegar serta wakil jabatan dan agensi berkaitan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

344
Kongsi :
Previous post KOMUNITI KAMPUNG MORTEN DAN PANTAI PERINGGIT TERIMA MANFAAT PELAKSANAAN PTK
Next post PPSPM RAIKAN WIRA SUNGAI MELAKA