Sorting by

×

KOMITMEN PERSEKUTUAN DAN NEGERI PERKUKUH AGENDA PEMBANGUNAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SERI NEGERI 12 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2025 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Pejabat Ketua Menteri Melaka, menerusi satu kenyataan memaklumkan perjumpaan itu menjadi platform penting bagi menyelaras usaha pembangunan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Antara fokus mesyuarat adalah perbincangan menyeluruh mengenai prestasi ekonomi negeri, cabaran semasa, aspirasi pembangunan strategik ke arah kemajuan Melaka yang lebih terancang, mampan dan inklusif.

“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah menggariskan beberapa cadangan projek pembangunan berimpak tinggi yang mencerminkan aspirasi negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan rakyat. Antara sektor utama yang diketengahkan ialah pembinaan dan naik taraf infrastruktur strategik dan penambahan sekolah serta kemudahan pendidikan.

“Turut diketengahkan adalah peningkatan fasiliti kesihatan awam dan pelaksanaan projek perumahan rakyat yang mana kesemua cadangan tersebut disampaikan berlandaskan prinsip pembangunan seimbang, berfokus rakyat serta berteraskan kemakmuran bersama,” kata kenyataan itu.

Hadir sama pada mesyuarat itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco serta Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian Persekutuan yang berkaitan.

Kerajaan Negeri Melaka amat menghargai ruang perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan dan yakin setiap cadangan akan diteliti secara profesional demi manfaat bersama.

“Selain itu Kerajaan Negeri Melaka turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan di atas sokongan berterusan terhadap aspirasi pembangunan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pada mesyuarat tersebut, Kerajaan Negeri Melaka telah membentangkan beberapa ‘wishlist’ merangkumi beberapa aspek antaranya infrastruktur jalan raya, projek tebatan banjir, pembinaan semula dan pembinaan baharu sekolah, pembinaan blok tambahan dan wad-wad di Hospital Jasin, projek perumahan rakyat; dan menaiktaraf muzium bagi sektor pelancongan.

Perdana Menteri turut memuji pencapaian membanggakan Negeri Melaka dalam memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Kampung Digital, Zon Bebas Kenderaan, Paramedik Komuniti (PARAKOM), merancakkan penggunaan ruang udara dan laluan air, pembangunan kawasan industri baharu, menghidupkan sukan tradisional dan pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

575
Kongsi :
Previous post JALAN SAMBUNGAN KOTA SYAHBANDAR-TAMAN STRAITS COURTYARD, JIMATKAN MASA PERJALANAN
Next post TVET UBAH NASIB MOHAMAD HANAPIAH