
KOMPLEKS DAKWAH, PUSAT TAHFIZ YAYASAN DMDI KOMITMEN SUBURKAN SYIAR ISLAM
JASIN 25 Mei – Kompleks Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Tersusun, di sini, bakal menjadi lambang komitmen jangka panjang Kerajaan Negeri dalam menyuburkan syiar Islam serta mendekatkan institusi dakwah dengan segenap lapisan masyarakat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kedua-dua kemudahan itu adalah inisiatif strategik yang akan berperanan sebagai pusat rujukan dakwah serantau, penyebaran ilmu, melahirkan pelapis utama dan pendakwah profesional.
Katanya, hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk melahirkan lebih ramai huffaz yang bukan sahaja menguasai kalam Allah, malah berjaya dan mahir dalam bidang profesional.
“Saya bersama barisan pentadbiran Kerajaan Negeri menzahirkan setulus penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas peruntukan sumbangan sebanyak RM4 juta bagi merealisasikan pembangunan ini.
“Selain itu juga, turut memberikan sumbangan adalah Kementerian Ekonomi sebanyak RM1.9 juta dan RM300,000 daripada JAMIYAH Singapura merangkap DMDI Singapura. Untuk itu segunung terima kasih juga kepada semua organisasi termasuk individu yang telah memberi sumbangan.
“Antara perancangan utama di sini adalah pembangunan pusat tahfiz, pembinaan 100 unit rumah kediaman warga emas yang bakal dilengkapi dengan pusat pengajian al-Quran, perpustakaan, surau, Klinik dan pelbagai pelbagai fasiliti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Dakwah DMDI dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Kampung Tersusun DMDI, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Menurut Ab Rauf, pelbagai inisiatif dan program juga telah dirancang serta dilaksanakan secara menyeluruh oleh Kerajaan Negeri dalam memartabatkan syiar Islam di Melaka khususnya.
“Pada tahun ini sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan sebagai bantuan pembangunan kepada 30 buah Institut Pengajian Islam Swasta (IPIS) yang berdaftar penuh di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
“Malah, Kerajaan Negeri juga turut memperkenalkan Program Bijak Tahfiz dengan jumlah peruntukan sebanyak RM297,000 khusus bagi menyokong sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negeri Melaka.
“Ketika in Melaka mempunyai 117 buah IPIS dan daripada itu 73 adalah pusat tahfiz berdaftar di bawah JAIM manakala 10 lagi masih belum berbuat demikian, justeru itu saya menyeru agar institusi pendidikan Islam di Melaka berdaftar secara rasmi dengan JAIM supaya layak menerima manfaat serta sokongan sewajarnya,” katanya.
Jelas beliau, usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkasakan Institusi Pengajian Islam serta meningkatkan kualiti pendidikan tahfiz bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.