Sorting by

×

KOMUNITI SEJAHTERA MAIM BAWA MANFAAT KEPADA MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Jun – Pelbagai program dan aktiviti telah dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menerangkan tentang tanggungjawab dan peranan agensi agama itu kepada masyarakat khususnya umat Islam.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, atas faktor itu, MAIM sentiasa menganjurkan pelbagai program membabitkan penyertaan masyarakat setempat, antaranya Komuniti Sejahtera yang julung kali diadakan.

Katanya, selain menyantuni masyarakat di kawasan terpilih, program yang diadakan itu turut menyelitkan pengisian kerohanian seperti ceramah kekeluargaan dan motivasi bagi membolehkan masyarakat mendapat ilmu baharu.

“Di bawah MAIM ini kita mempunyai banyak peranan dan perkhidmatan yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat jadi menerusi program-program diadakan kita akan menggerakkan bahagian atau unit berkaitan untuk menyantuni masyarakat.

“Pada masa sama juga MAIM dapat menyantuni penduduk dan menghulur sumbangan agar dapat membantu meringankan beban mereka.

“Menerusi program turun padang pula ia dapat membantu MAIM mengenal pasti kes-kes terpencil yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ziarah asnaf sempena Program Komuniti Sejahtera Dan Sambutan Maal Hijrah di Rumah Pangsa Al-Ehsan, di sini, semalam.

Shaifulfazlee berkata, melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan, program Komuniti Sejahtera itu dijangka akan diteruskan ke lokasi-lokasi penempatan yang dilihat sesuai.

“Untuk program ini ia mempunyai banyak pengisian yang membabitkan pelbagai peringkat usia dan apa yang dilihat menerusi penganjuran pertama kali ini ia mendapat sambutan.

“Menerusi satu penganjuran program ia memberi banyak manfaat termasuk merapatkan ukhwah dalam kalangan penduduk dan juga kakitangan MAIM bersama masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

586
Kongsi :
Previous post NAMA BAHARU JAMBU MELAKA AKAN DIUMUMKAN ESOK
Next post TERNAKAN BERKELIARAN: MPAG KELUAR 50 NOTIS KOMPAUN TAHUN INI