Sorting by

×

KOMUNITI SUNGAI JERNEH TERIMA PELBAGAI MANFAAT SEBAGAI ‘KAMPUNG ANGKAT’ MYIPO

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER LIMAU 11 Mei – Kampung Sungai Jerneh, Lubok China, di sini, telah dipilih sebagai ‘kampung angkat’ Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung yang turut dikenali sebagai Santuni MADANI.

Ketua Pengarah MyIPO, Kamal Kormin berkata, menerusi program tersebut, ia bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk kampung tersebut.

Katanya, program Santuni MADANI di Kampung Sungai Jerneh itu bakal memberi tumpuan kepada pelbagai aspek khususnya memfokuskan kepada kesejahteraan penduduk setempat.

“Program Santuni MADANI ini memberi ruang kepada agensi kerajaan untuk menyantuni komuniti luar bandar melalui pendekatan ‘turun padang’ secara berstruktur.

“Menerusi libat urus secara langsung, MyIPO akan membina sebuah mini dewan terbuka, pembangunan infrastruktur sekolah menerusi pemberian komputer dan sumbangan kerohanian merangkumi pembaikan infrastruktur di Masjid Ibnu Sina, Kampung Sungai Jerneh, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Merasmikan Majlis Pelancaran Program Santuni MADANI MyIPO di Balai Raya Kampung Sungai Jerneh, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Kamal berkata untuk pembangunan komuniti setempat di Kampung Sungai Jerneh, pihaknya sedang meneliti kaedah bagi meningkatkan pendapatan anak muda di kampung berkenaan.

“Antara cadangan MyIPO untuk membantu komuniti masyarakat setempat di sini mungkin dengan projek tanaman nanas dan projek ternakan ikan.

“Kita melaksanakan kesemua projek ini secara berperingkat yang mana ada di antaranya telah pun dilaksanakan sejak Disember tahun lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

681
Kongsi :
Previous post PAKEJ PELANCONGAN ‘SEGI TIGA EMAS’ ANTARA DUBAI-SINGAPURA-MELAKA
Next post LIMA KAMPUNG DI AYER LIMAU DAPAT FAEDAH SANTUNI MADANI