Sorting by

×

KOMUNITI TAMAN KEBAYA IKRAR PERANGI DENGGI

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

REMBIA 27 Julai – Komitmen masyarakat dalam memerangi ancaman denggi terus diperkasa menerusi Kempen Membasmi Wabak Denggi 2025 yang diadakan di Taman Kebaya, di sini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program itu merupakan anjuran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG); Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah serta beberapa agensi lain yang terlibat bagi memberi kesedaran kepada komuniti untuk menjaga kebersihan persekitaran kediaman.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, kempen terbabit bukan sekadar simbolik atau acara tahunan namun ia berbentuk ikrar kolektif komuniti untuk tidak tunduk kepada ancaman seekor nyamuk kecil yang mampu membawa kesan besar terhadap kesihatan awam.

“Sehingga 19 Julai tahun ini, Daerah Alor Gajah telah merekodkan sebanyak 83 kes denggi dan Taman Kebaya di Paya Datok ini sahaja telah mencatatkan tujuh kes pada tahun ini manakala 11 kes pada tahun lalu, ia bukan angka kecil dan perlu diberi perhatian serius semua pihak.

“Kempen ini bertujuan untuk menyuntik kesedaran komuniti serta menyemai nilai kebersihan, kesihatan dan tanggungjawab sosial selaras dengan usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Penutup Kempen Membasmi Wabak Denggi Tahun 2025 di Dewan Taman Kebaya Paya Datok, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Pada majlis tersebut pelbagai aktiviti dijalankan termasuk pameran kesedaran agensi kerajaan dan Carian Jentik-Jentik.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berharap program terbabit dapat menjadi pemangkin gerakan komuniti lebih menyeluruh dalam memerangi wabak denggi seterusnya meletakkan Taman Kebaya sebagai model komuniti cemerlang dan cakna kesihatan awam.

“Saya harap setiap zon kediaman dapat mewujudkan satu jawatankuasa khas pencegahan denggi bagi melatih golongan muda menjadi ejen perubahan serta menggalakkan gotong-royong secara berkala,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post PPSPM GERAKKAN SKUAD HERO SUNGAI MELAKA
Next post MELAKA MAHU CIPTA MODEL KOPERASI MASA DEPAN