
KONDA KONDI KE PERSADA DUNIA
AYER KEROH 19 Jun – Nostalgia hilai tawa dan suasana riang anak kampung mengisi masa lapang pada waktu petang ‘dihidupkan’ semula menerusi usaha memberikan nafas baharu kepada permainan tradisional konda-kondi.
Konda kondi juga dikenali popular dengan nama lain seperti Perik Mata, Kaunda Kaundi, Gillli Danda atau Kili Kiththi dan asal usul permainan ini mulanya dimainkan di estet sekitar Melaka.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad berkata, permainan berasal dari Melaka itu kemudian terus berkembang ke negeri-negeri lain seluruh Malaysia.
Katanya, konda kondi amat popular dalam kalangan anak kampung suatu ketika dahulu kerana ia hanya memerlukan peralatan asas iaitu dua unit kayu dan lubang dikorek pada tanah.
“Lebih penting ‘venue’ atau gelanggang kondi kondi ini juga mudah, sekitar halaman rumah, padang atau kawasan lapang yang tidak mengganggu pergerakan pemain.
“Kerajaan Negeri Melaka amat bersungguh dalam memberikan nafas baharu kepada permainan ini yang mana kita turut menerapkan unsur inovasi. Bukan sekadar mahu memartabatkan atau popularkan kembali permainan ini tetapi kita melihat lebih jauh iaitu membawa konda kondi ke persada dunia,” katanya.
USAHA KERAJAAN NEGERI MARTABAT KONDA KONDI
Katanya, mahu mempopularkan semula permainan tradisional pada zaman digital bukan satu perkara yang enteng, berikutan itu konda kondi alaf baharu disuntik inovasi, namun tetap memelihara keaslian dan ‘DNA’ asalnya.
Jelasnya, sehubungan itu Kerajaan Negeri menubuhkan satu badan induk yang diiktiraf Pesuruh Jaya Sukan, bertujuan untuk mengelola dan membangunkan permainan konda kondi.
“Kerajaan Negeri menerusi BPP turut mencadangkan untuk membuat pendaftaran permainan konda kondi di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mempatenkan Inovasi Permainan Konda Kondi iaitu Peluncur Mudah Alih dan Garis Panduan Permainan,” katanya.
Selain itu, Nasrul turut memaklumkan usaha memartabatkan sukan warisan itu dilakukan menerusi garapan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mahu menjadikan permainan tradisi itu diangkat menjadi cenderamata sempena Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dijaduakan September nanti.
“Kita harap menerusi pemberian cenderamata, konda kondi akan menjadi sebutan di bibir perwakilan asing ini selepas pulang ke negara asal masing-masing.
“Akan datang permainan warisan ini akan diangkat menjadi acara ‘wajib’ dan sering dipertandingkan di setiap peringkat,” katanya.

INOVASI KONDA KONDI
Mengulas lanjut, Nasrul memaklumkan antara inovasi yang dilakukan bersama badan induk meliputi tiga perkara iaitu peluncur mudah alih, disiplin permainan dan buku syarat permainan.
Jelasnya, sebelum ini permainan konda kondi dimainkan hanya di padang dan perlu menggali lubang pada tanah untuk dijadikan sebagai peluncur, namun lubang tanah itu diganti dengan peluncur mudah alih hasil idea inovasi.
“Peluncur mudah alih ini menggantikan lubang yang perlu digali yang mana ia boleh dimainkan dimana-mana sahaja, sama ada di padang atau kawasan tertutup seperti dewan dan boleh dimainkan bila-bila masa.
“Seterusnya, disiplin permainan konda kondi yang mana permainan ini mempunyai tiga disiplin supaya permainan sesuai dijadikan format pertandingan secara berkumpulan dan setiap kumpulan mempunyai tiga pemain.
“Buku panduan syarat permainan pula dicipta menerusi inovasi konda kondi lengkap dengan cara bermain, sistem pemarkahan, syarat-syarat pertandingan serta aspek keselamatan bagi memudahkan pemain merujuk sistem peraturan yang jelas dan mudah difahami,” katanya.

SET PERALATAN LENGKAP KONDA KONDI
Menurut Nasrul, bagi set peralatan konda kondi yang diperlukan ada enam alat iaitu kayu panjang; kayu pendek; peluncur; pita pengukur; tiang bendera dan borang pendaftaran dan pemarkahan.
Ujarnya, kayu panjang atau dikenali sebagai Kayu Ibu digunakan sebagai pemukul dan kayu itu berbentuk lurus, bulat, jenis kayu yang keras dan ringan.
“Seterusnya, kayu pendek atau Kayu Anak yang mana kayu ini dikuis oleh pemain ke udara dan kayu itu perlu lurus, keras dan ringan. Peluncur dibuat menggunakan kayu keras dan mudah alih di mana ianya berfungsi sebagai peluncur bagi mengetuk serta mencungkil kayu anak dengan lebih konsisten dan selamat.
“Pita pengukur digunakan untuk mengukur jarak kawasan petak permainan dan jarak kumpulan yang bersaing. Tiang Bendera digunakan sebagai penanda bagi menentukan had kawasan yang ditetapkan dan diletakkan di empat penjuru kawasan permainan.
“Borang pendaftaran dan pemarkahan digunakan sebelum permainan yang mana sebelum pertandingan pemain akan membuat pendaftaran dan jumlah kutipan mata jarak yang diperolehi akan dicatit bagi menentukan pemenang,” katanya.
DISIPLIN DAN FORMAT PERMAINAN KONDA KONDI ALAF BAHARU
Menurut Nasrul, disiplin atau cara permainan konda kondi mempunyai tiga disiplin iaitu Disiplin Pertama iaitu menyungkit kayu anak (sungkit); Disiplin Kedua (Pukul Angin) dan Disiplin Ketiga (Patuk Ayam).
Jelasnya, mengikut peraturan keselamatan, kawasan yang dipilih adalah kawasan lapang dan bebas daripada objek berbahaya seperti kaca, batu dan permukaan licin dan kawasan terbabit bukanlah laluan lalu lalang.
“Balingan hendaklah tidak melebihi paras bahu serta kod pemakaian adalah pakaian sukan serta berkasut.
PENENTUAN PEMENANG KONDA KONDI
Jelas Nasrul, pasukan yang berjaya mengumpul jarak terpanjang mengikut jumlah jarak terkumpul adalah pemenang.
“Pasukan masing-masing akan mengukur jarak diperolehi dan disaksikan pihak lawan dan urusetia atau pengadil akan mencatit markat jarak yang diperolehi dalam borang pemarkahan.
“Sekiranya ada bantahan dari mana-mana pasukan pengadil akan bertindak untuk menentukan kesahihan ukuran dan borang pemarkahan digunakan untuk mengira jumlah jarak yang diperolehi setiap pasukan,” katanya.
Ends//
Pix 1. PERMAINAN tradisional konda-kondi turut dipromosikan pada Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu di Kompleks Japerun Lendu. Foto Iqmal Haqim Rosman
Pix 2. MENGHIDUPKAN semula nostalgia hilai tawa anak kampung suatu ketika dahulu. Foto Iqmal Haqim Rosman
Pix 3. TEKNIK permainan konda kondi. Foto Iqmal Haqim Rosman
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.