
KONSEP ‘PIKNIK’ RUMAH TERBUKA AIDILFTIRI DUYONG TARIK 30,000 PENGUNJUNG
DUYONG 11 April – Lebih 30,000 pengunjung membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, semalam.
Ia sekali gus menyerlahkan usaha merakyatkan kepimpinan serta menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kehadiran luar jangka itu mencerminkan sambutan luar biasa rakyat terhadap konsep penganjuran yang lebih santai dan mesra keluarga.
“Kita bersedia dengan penyediaan makanan untuk kira-kira 30,000 pengunjung namun saya tidak dapat pastikan anggaran angka kerana ada beberapa pintu masuk ke stadium kali ini malah kehadiran sejak mula tadi masih tidak putus-putus sehingga lewat malam,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada majlis berkenaan,” katanya ditemui pada majlis berkenaan.
Rumah terbuka itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, penganjuran rumah terbuka itu juga berlandaskan prinsip Ketua Menteri yang mahu merakyatkan kepimpinan supaya rakyat lebih dekat dengan pemimpin.
“Pertamanya, terima kasih kepada masyarakat yang hadir malam ini dan apa yang kita lakukan pada hari ini adalah berlandaskan aspirasi Yang Berhormat Ketua Menteri untuk menjadikan sambutan lebih dekat dengan rakyat, atas dasar prinsip ‘Melaka Sayang Rakyat’.
“Jadi sebelum ini di Duyong, kita buat di kawasan luar (stadium) agak sempit jadi apabila kita buat di dalam (stadium), lebih bersifat santai, merakyatkan semua kepimpinan dan kalau perasan meja protokol dua sahaja.
“Sebab kita minta wakil rakyat juga bersama dengan rakyat dan semua itu aspirasi Ketua Menteri itu sendiri,” katanya.
Menurut beliau, kelainan konsep ‘berpiknik’ yang diperkenalkan tahun ini memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana lebih santai bersama keluarga, selain penyediaan pelbagai aktiviti termasuk untuk kanak-kanak serta pameran agensi.
Tambahnya, pendekatan itu turut membuka ruang kepada pemimpin untuk bergaul lebih dekat dengan rakyat apabila susun atur tempat duduk tidak lagi tertumpu kepada protokol semata-mata.
Pada majlis berkenaan, pelbagai juadah tradisi disediakan kepada pengunjung termasuk roti jalan, nasil lemak dan roti jalan selain mereka dihiburkan dengan persembahan kumpulan Senario dan Badan Kebudayaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


