
KONVENSYEN KHAS PENDIDIKAN MELAKA PERKUKUH PERANAN PIBG
AYER KEROH 14 Disember – Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka mendapat perhatian Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang melihat program itu sebagai platform untuk memperkukuh peranan mereka dalam pendidikan.
Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bidara Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, konvensyen selama dua hari itu membuka ruang kepada PIBG untuk berinteraksi dengan pihak sekolah dan pihak luar bagi menyokong perkembangan sekolah.
“Program sebegini membolehkan pihak sekolah mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada komuniti serta pihak berkepentingan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama PIBG Sekolah, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yok Bin, Datuk Wira Calvin Lee Shiann, meminta ibu bapa agar lebih aktif memantau anak-anak selepas waktu persekolahan.
Beliau menasihati ibu bapa untuk terlibat dalam program sekolah dan bekerjasama dengan guru serta pentadbir bagi memastikan pelajar tidak terjerumus ke kancah negatif.
“Kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah dilihat sebagai kunci untuk memastikan pelajar berkembang dari segi akademik, disiplin dan sahsiah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


