Sorting by

×

KOS HAJI DIUMUM 22 OKTOBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Oktober – Kadar rasmi kos menunaikan ibadah haji bagi musim 2026 bakal diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 22 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pengumuman itu penting bagi membolehkan proses pengeluaran surat tawaran kepada bakal jemaah dilaksanakan sebaik sahaja kadar kos sebenar dimuktamadkan.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa kos berkenaan tidak akan membebankan bakal jemaah haji pada tahun depan untuk menunaikan rukum Islam kelima itu.

“Insya-Allah pada 22 hari bulan ini Tabung Haji akan umumkan kos haji tahun 2026. Kita tengoklah sama ada kekal, naik atau turun.

“Selepas kos sebenar diketahui barulah surat tawaran haji boleh dikeluarkan dan saya yakin ia tidak akan membebankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Komuniti ‘Semanis MABIMS Seharum Serantau’ Program Kampung Angkat Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura merangkap Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Republik Singapura Prof. Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam Mewakili Menteri Hal Ehwal Ugama (Kheu) Mohammad Rosli Ibrahim dan Kepala Biro Hukum Dan Kerjasama Luar Negeri Republik Indonesia Mewakili Menteri
Agama Republik Indonesia Imam Syaukani.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im memaklumkan surat tawaran haji dijangka akan dikeluarkan lebih awal bagi membolehkan bakal jemaah mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan.

Beliau memaklumkan, TH juga sedang mengambil langkah agresif bagi mengurangkan kadar penolakan tawaran haji, yang mencatatkan peningkatan pada musim lalu.

Jelas beliau, antara langkah diambil adalah menghubungi semula individu yang tersenarai dalam giliran haji tetapi tidak dapat dikesan pada musim lalu, bagi memastikan maklumat mereka dikemas kini dan kesediaan menunaikan haji dapat dipastikan.

“Musim lepas agak ramai menolak tawaran, jadi kali ini TH mengambil inisiatif mengenal pasti lebih awal bakal jemaah mengikut giliran 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1205
Kongsi :
Previous post BALAI ISLAM KAMPUNG PULAU JADI PUSAT LATIH IMAM MUDA