Sorting by

×

KPDN MELAKA CATAT NILAI RAMPASAN LEBIH RM600,000 KURANG TIGA BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PENGKALAN BATU 19 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merekodkan lebih RM600,000 nilai rampasan menerusi penguatkuasaan yang dijalankan sejak awal tahun ini.

Pengarah KPDN Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, penguatkuasaan dilakukan itu merupakan usaha berterusan KPDN bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang serta melindungi kepentingan pengguna di negeri ini.

“Bermula 1 Januari hingga 16 Mac 2026 sebanyak 8,538 pemeriksaan telah dilakukan penguatkuasa KPDN dan susulan itu sejumlah 163 kes berjaya dihasilkan.

“Daripada kes dihasilkan itu pihak kami juga telah melakukan rampasan membabitkan nilai sebanyak RM605,628.17 manakala KPDN turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM30,600,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026, di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, pada Selasa.

Menurut Dr. Mohd Hazimin, dalam tempoh empat hari pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2026 yang bermula pada 14 Mac sebanyak 25 kes telah dihasilkan di seluruh Melaka.

“Daripada jumlah kes dikesan itu sejumlah RM2,600 kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga atas beberapa kesalahan termasuk tidak mempamerkan tanda harga.

“Manakala bagi keseluruhan kes SHMMP sepanjang tahun ini sebanyak 46 kes direkodkan membabitkan jumlah kompaun RM5,500,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi Ops Pantau 2026 yang dilakukan bermula 19 Februari lalu sebanyak 58 aduan diterima pihaknya.

“Ops Pantau 2026 ini akan berakhir pada 20 Mac (Jumaat) dan sepanjang tempoh pelaksanaan sebanyak 2,391 pemeriksaan keatas premis telah dijalankan, hasilnya 20 telah diambil.

“Di pihak KPDN kami mengingatkan peniaga agar kekalkan etika perniagaan yang baik selain pengguna juga perlu menjadi mata dan telinga KPDN dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan serta isu kepenggunaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post ANGGOTA ‘F.RON.T’ MBMB BERTUGAS 24 JAM TANGANI KES KECEMASAN